Perodua mengesahkan aktiviti pemeriksaan kualiti Perodua Axia baharu bagi pemeriksaan dan program semula EFI ECU bermula sejak 5 Ogos lalu.
Menurut pihak Perodua kempen berkenaan hanya melibatkan jumlah yang kecil tanpa mendedahkan total dan kumpulan pengeluaran yang terlibat.
“Kami mohon maaf, tetapi kami tidak boleh kongsi jumlah kenderaan yang terlibat pada masa ini.
“Secara amnya, aktiviti pemeriksaan ini dijalankan untuk memastikan setiap unit kenderaan Perodua berfungsi secara optimum dan kami berharap para pelanggan yang menerima surat dapat membuat temujanji dalam masa yang terdekat,” katanya kepada Motoqar.
Pusat servis Perodua mempunyai kapasiti menjalankan aktiviti pemeriksaan kualiti tersebut mengikut masa pelanggan susulan jumlah yang terlibat adalah kecil.
Selain daripada surat, pelanggan yang terlibat turut dimaklumkan ketika temujanji penyelenggaraan di pusat servis.
Minggu lalu, Motoqar melaporkan pemilik Perodua Axia berkongsi menerima surat untuk menghantar kenderaan ke pusat servis bagi pemeriksaan EFI ECU.
Pemeriksaan kualiti dan penggantian (sekiranya perlu) akan dilakukan secara percuma dan pemilik yang terkesan dinasihatkan membuat temu janji di pusat servis berhampiran bagi memastikan proses pemeriksaan kenderaan berjalan lancar.