Pemandu pecut sebab panik diarah berhenti

406

Polis mengesahkan kejadian peronda polis (MPV) mengejar kenderaan awam sejauh 1km seperti yang tular di media sosial kerana melanggar lampu isyarat merah, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya mengesan satu video di TikTok memaparkan sebuah MPV mengejar Toyota Vios.



“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada jam 11 malam, Selasa lalu di Taman Sijangkang Jaya, Telok Panglima Garang.

“Semasa kejadian, anggota MPV yang sedang bertugas melihat kereta itu melanggar lampu isyarat merah di Batu 7, Sijangkang.

“Anggota polis mengarahkan kereta itu berhenti tetapi kenderaan terbabit sebaliknya terus memecut memasuki ke Taman Perumahan Sijangkang Jaya,” katanya. 

Ahmad Ridhwan berkata, anggota polis berjaya menahan kenderaan tersebut dan pemeriksaan mendapati Toyota Vios dipandu lelaki tempatan berumur 41 tahun selain isteri dan tiga anaknya turut berada dalam kereta.

“Siasatan mendapati pemandu memberi alasan panik selepas diarahkan berhenti oleh polis lalu memecut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu tiada membawa apa-apa barang salah dan anggota mengeluarkan satu saman POL. 257 kepada pemandu itu.

“Saman dikeluarkan atas kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah (Kaedah Rule LN167/59-017) yang mana kesalahan ini boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here