Identiti penunggang motosikal yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie, di Elmina, Shah Alam, dikenalpasti sebagai Muhamad Hafiz Muhamad Salleh yang berasal dari Sidam, Kedah.
Menurut sepupu mangsa, Nurul Nazihah, Allahyarham yang juga lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhijrah ke ibu kota dan kini bekerja sebagai rider penghantar makanan.
Nazihah berkata dia menonton rakaman tular memaparkan rider itu rentung terbakar, namun tidak menyangka mangsa merupakan ahli keluarga sendiri.
“Pukul 4 petang tadi saya ada tonton video nahas pesawat. Saya tengok video rider terbakar. Memang sedih… saya kata pada diri, kenapa la dia lalu masa kejadian. Kesian tengok terbakar atas jalan.
“Lepas Maghrib baru tahu mangsa sepupu saya. Polis ke rumah ibunya, sekarang ibunya dalam perjalanan ke ibu negara. Sampai sekarang saya tak berani nak call ibunya. Takut dia tak boleh nak bercakap,” katanya.
Menurut Nazihah, mangsa yang berusia 30-an merupakan anak sulung daripada lima beradik dan sepatutnya pulang ke kampung halaman bagi menghadiri kenduri keluarganya minggu depan.
“Dia dah lama kerja di Kuala Lumpur. Dia kerja rider. Dah habis belajar dalam tahun 2017. Memang rapat, baru saja jumpa di kampung masa raya Qurban. Saya duduk Kulim, ibu arwah di Sidam. Kampung kami pula di Baling.
“Minggu depan kenduri kahwin adik dia. Sepatutnya dia balik minggu depan. Memang sedihlah. Masa raya tu kali terakhir jumpa. Dia jenis soft spoken, sembang tak merapu.
“Minta tolong semua doakan yang baik-baik, diampunkan dosanya, dan dikurniakan syurga buatnya,” kongsinya.