Zontes lancar skuter baharu, Zontes 350 Series harga bermula RM23,800

1243

Zontes Distribution Sdn Bhd, syarikat di bawah  Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd, pengimport dan pengedar rasmi motosikal Zontes di Malaysia melancarkan skuter Zontes 350 Series baharu.

Skuter 350 Series baharu dilengkapi teknologi terkini dan pelbagai ciri premium yang lazimnya hanya terdapat pada motosikal yang lebih berkuasa, tetapi pada harga yang menarik dan berpatutan.

Ia ditawarkan dengan dua varian 350D dan 350E. Kedua-duanya menggunakan enjin silinder tunggal 349cc yang menggunakan sistem penyejukan cecair dan pancitan bahan api yang sama, dengan 36hp dan tork 38Nm yang dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. 



Skuter itu didatangkan dengan waranti am selama dua tahun atau 20,000km dan sehingga tiga tahun atau 30,000km bagi komponen enjin, tertakluk kepada terma dan syarat.

Zontes 350D

Direka untuk mobiliti di bandar, model 350D yang lebih ‘slim’ dan ringan ini mempunyai berat 190kg dan menjadi nisbah kuasa kepada berat yang tertinggi dalam kelasnya. 

Dilengkapi dengan tangki bahan api 12 liter yang dianggarkan dapat ditunggang sejauh 400 km dalam mod ECO, pengendaliannya yang lebih tangkas, suspensi yang selesa, pikap yang bagus dan ekonomi bahan api menjadikan varian ini begitu sesuai untuk penggunaan harian di bandar. 

Boleh didapati dalam warna perak atau hitam, 350D merupakan pilihan yang bijak bagi penunggang peringkat pertengahan berusia antara 31 hingga 40 tahun, terutamanya mereka yang berhasrat untuk mendapatkan motosikal kedua. Ia dijual bermula RM23,800.

Zontes 350E

Model 350E, dengan jarak roda yang lebih panjang iaitu 1,565mm (berbanding 1,405mm bagi 350D), tangki bahan api 16 liter yang lebih besar (jarak perjalanan sejauh 457km dengan tangki penuh) dan lebih berat pada 203kg, lebih sesuai untuk perjalanan jauh dan dijual pada harga RM25,800. 

Ruang simpanan tempat duduknya yang mempunyai kapasiti 50 liter boleh memuatkan dua topi keledar ‘full-face’, manakala dua ruang simpanan kalis air yang besar di bahagian depan pula dapat memuatkan empat botol air 500ml dengan lebihan sedikit lagi ruang. 

Hendal aloi aluminium bersepadu 350E boleh dilaraskan dalam dua gear (depan dan belakang), membolehkan penunggang memilih kedudukan hendal yang lebih selesa, manakala sarung hendal yang dipanaskan dapat mengekalkan kelesaan tangan dan jari penunggang dalam cuaca sejuk. 

Varian 350E disasarkan untuk golongan berusia 31 hingga 40 tahun sama ada dari kalangan penunggang peringkat pertengahan atau penunggang motosikal berkuasa tinggi, dengan pilihan warna putih atau hitam.

Lengkap teknologi terkini

Ciri yang membawa fungsi dan keselesaan yang terdapat pada kedua-dua varian 350D dan 350E termasuklah sistem kawalan tanpa kunci 3.0 untuk memudahkan ia dihidupkan, skrin berwarna TFT 6.7” dengan keupayaan pencerminan telefon bimbit, perisai angin yang boleh dilaraskan secara elektronik dan dua port pengecasan pantas 18W dengan penyambung jenis A dan C.

Ciri keselamatan yang terdapat pada kedua-dua varian termasuklah brek cakera depan dan belakang dengan angkup 4 omboh jenis jejari J Juan, ABS dwi saluran, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan lampu LED OSRAM ultra terang.

Sempena pelancaran tersebut, Zontes menganjurkan Peraduan “Memorable Memories Together” dari 15 Ogos hingga 17 September 2023 bagi yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai skuter 350 Series. Anda hanya perlu layari pautan yang diberikan, lengkapkan maklumat yang diperlukan dan log masuk ke laman Facebook Zontes Malaysia (https://www.facebook.com/ZontesMy) pada 3.00 petang, 18 September 2023 untuk mengetahui sama ada anda merupakan pemenangnya! 

Untuk maklumat lanjut mengenai motosikal Zontes di Malaysia, sila layari www.zontesmalaysia.com.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here