Pakar-pakar penerbangan berpendapat ketiadaan perakam data penerbangan (FDR) akan merumitkan lagi siasatan nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, FDR amat penting kerana ia merakam semua pergerakan teknikal pesawat berkaitan arah, kelajuan, kemudi dan pengendali sama ada manusia atau auto-pilot.
Jelasnya, ketiadaan FDR akan menyebabkan siasatan akan mengambil masa yang lebih panjang.
“FDR merakam semua pergerakan termasuk pergerakan ke tandas, menekan butang pada kerusi, juruterbang ada di tempat duduk atau tidak bertujuan merungkai kronologi kejadian sekiranya berlaku tragedi.
“Pesawat Beechcraft hanya ada perakam suara kokpit (CVR) yang merekod bunyi seperti percakapan radio dengan menara kawalan, bunyi-bunyi ganjil seperti letupan atau orang menjerit,” katanya.
Menurut Nik Huzlan, jika CVR elok, segala maklumat dapat dianalisis kurang seminggu kepada kepakaran di mana data itu dihantar.
Tambahnya, keberadaan FDR bergantung kepada undang-undang negara pengeluar. Biasanya pesawat Malaysia mempunyai FDR dan CVR untuk beroperasi.
“Nombor pendaftaran pesawat itu masih tidak ditukar di mana menggunakan Amerika Syarikat (AS) iaitu N-28JV dan bukannya 9M jika berdaftar di Malaysia. Biasanya ia pesawat sewa,” katanya.