Murah hampir RM100K, jika tempah Lotus Emira i4 First Edition sekarang

592

Lotus Cars Malaysia membuka tempahan model enjin ICE terakhir jenama berkenaan, Emira i4 First Edition untuk pasaran tempatan dengan harga istimewa iaitu RM998,800, di atas jalan termasuk cukai. 

Tawaran eksklusif untuk model Lotus terakhir yang dikuasakan oleh enjin ICE itu hanya sah untuk kenderaan tahun 2023 sebelum harga sebenar berkuatkuasa iaitu RM1.095 juta di Semenanjung Malaysia dan RM509,000 di pulau bebas cukai Langkawi.



Emira i4 First Edition menggunakan enjin empat silinder paling berkuasa daripada Lotus. Jentera dengan konfigurasi enjin tengah dua tempat duduk itu. Ia menggunakan enjin aluminium 2.0 liter turbo yang dipadankan bersama kotak gear klac berkembar (DCT) lapan kelajuan automatik yang diambil daripada Mercedes-AMG.

Pembangunan tambahan yang dilakukan oleh Lotus termasuklah sistem pengambilan udara dan ekzos baharu. Tidak ketinggalan satu kaliberasi khas untuk dipadankan dengan pemetaan penukaran gear baharu yang membolehkan enjin Emira i4 menjana kuasa sehingga 360bhp pada 6,600rpm dan tork 430Nm pada 3,000-5,500rpm.

Ia mampu memecut 0-100km/j dalam masa 4.4 saat dan pecutan maksimum 290km/j.

Pengarah Urusan Lotus Cars Malaysia, Jack Zaal berkata, sebagai model terakhir Lotus yang dikuasakan oleh enjin petrol, Emira ialah sebuah model klasik masa depan. 

Menurutnya, ia sebuah jentera berprestasi tinggi, dinamik luar biasa, suspensi yang ringan dan ditala penuh teliti, sistem stereng inovatif, bahagian luaran yang direka agar aerodinamik dengan ruang kabin yang fokus kepada pemandu.

Katanya, semua itu digabungkan untuk memberikan pengalaman memandu sebuah kereta sports sebenar yang boleh diharapkan daripada sebuah Lotus,” katanya.

Sama seperti Emira V6 yang banyak menerima pujian dan anugerah, produksi Emira i4 dilakukan di Chapman Production Centre (CPC) di Hethel, yang diberi nama sempena pengasas dan inspirasi Lotus. 

Lotus Advanced Structures di Norwich bertanggungjawab untuk sub pemasangan struktur chasis aluminium yang ringan. Kedua-dua kemudahan bertaraf dunia itu sememangnya yang terbaik untuk penghasilan kereta sports dan merupakan sebahagian daripada pelaburan sebanyak £100 juta Lotus di UK. 

Emira i4 First Edition hadir dengan empat pek pilihan sebagai ciri standard. Satu daripadanya ialah Lower Black Pack yang merangkumi kemasan hitam berkilat pada bumbung, bingkai bumbung, perumah cermin sisi dan emblem Lotus pada bahagian belakang. Kemasan pada ekzos pula berwarna hitam satin. 

Design Pack melibatkan penambahan satu kaca privasi, pedal sports, kemasan bumbung Alcantara dan karpet lantai Emira. 

Convenience Pack ditambah dengan sensor parkir hadapan, kamera undur, sensor pada pengelap cermin utama bersama bilah aero, cermin malap secara automatik dan jaring pada ruang penyimpanan belakang.

Akhir sekali ialah Lotus Drivers Pack yang memberi pilihan suspensi Tour atau Sports kepada pelanggan. Tidak kira pilihan mana yang diambil, ia dilengkapi ciri Track Mode ESP dengan mode Track baharu dipaparkan pada skrin instrumen TFT yang mengutamakan maklumat diperlukan untuk pemanduan berprestasi tinggi. 

Kereta pertama pelanggan dijangka tiba pada November tahun ini. Sementara itu, mereka yang berminat untuk melihat Emira i4 dijemput datang ke Lotus Store di Level 3, Pavilion Kuala Lumpur di mana model Emira V6 yang mempunyai penampilan luaran dan dalaman sama ada dipamerkan. 

Dibuka bermula 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, bilik pameran butik itu menawarkan pengalaman tersendiri dengan Pakar Lotus yang sentiasa bersiap sedia dan konfigurator yang membolehkan pelanggan menambah spesifikasi kereta mereka. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here