Super Cub terjual lebih daripada 100 juta unit yang mana dipasarkan lebih daripada 15 negara. Setiap model menciptakan perjalanan memori yang panjang bersama pemilik.
Seperti mana model kustom milik Nasir Morni yang berasal dari Kuching, Sarawak. Sebelum transformasi ke Africa Cub, Honda Cub C90 (1983) milik bapanya itu menyimpan seribu kisah.
Kira-kira empat dekad lalu, Honda Cub itu digunakan sebagai komuter harian. Setahun kemudian, Nasir mula bersekolah.
Dia akan membonceng di belakang menuju ke sekolah dan motor Honda itu berkhidmat dengan setia bersama keluarganya sehingga 2005.
HILANG 15 TAHUN
Malangnya, Honda Cub C90 berwarna ungu dan putih itu dikebas pencuri dan harapan untuk menemukan semula motor berkenaan semakin kelam. Namun, siapa sangka selepas 15 tahun motosikal itu ditemukan semula.
“Tetapi polis hanya memaklumkan kepada kami pada tahun 2020, sangat mengecewakan kerana keadaannya yang teruk, ia berada di pekarangan polis sejak dahulu, 15 tahun!,” katanya.
Pertemuan semula itu satu kegembiraan dan kekecewaan pada masa sama. Hanya rangka masih dalam keadaan utuh manakala komponen seperti pelana, madgad mahupun badan kapcai itu sudah tiada, bahkan rim depan dan belakang juga tidak sepadan.
Selepas 15 tahun, motor itu layak mendapat nafas baru. Langkah pertama, Nasir menjadikan jentera itu sebagai Cub Trail HRC iaitu versi mini big daddy Africa Twin RD03 (1988).
“Binaan ini diinspirasikan daripada Siri Honda Cub Trail (Honda CT). Pasaran Honda CT agak kecil dan malangnya ia tidak masuk ke Malaysia.
“Melihat motosikal itu untuk sekian lama, saya memutuskan untuk menggunakan Honda Cub C90 milik Ayah saya sebagai model asas untuk projek itu,” kongsinya.
KIT BADAN RALI
Jadi , Nasir memilih rim aloi ProTaper berwarna emas yang kemudian dipadankan dengan naiktaraf suspensi iaitu fork depan travel yang panjang dan penyerap hentak boleh laras 340mm di belakang.
Bahagian kaki itu dilengkapkan dengan brek cakera depan bersama kaliper kustom dengan penutup berwarna putih.
Nasir meminta bantuan rakannya di Rocketeer Custom Art untuk menghasilkan skema warna putih, biru dan merah HRC pada keseluruhan badan Cub berkenaan.
Africa Cub itu dilengkapi dengan kit rali menerusi lampu depan bulat, tangki simpanan minyak, pelindung frem tengah dan pemijak kaki boleh lipat serta tapak kustom meletak barang di bahagian belakang.
Enjin juga dipulih dan digilap semula. Kedudukan ekzos mencuri perhatian menerusi material keluli tahan karat.