Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) mengumumkan harga Modenas Versys-X 250 (2023) iaitu RM24,900 menerusi dua pilihan warna Metallic Flat Spark Black dan Lime Green.
Versys-X 250 dijana oleh enjin 249cc parallel twin yang menghasilkan kuasa 34PS dan tork 21.7Nm bersama kotak gear 6-kelajuan serta klac assist/slipper.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata pihaknya memperkenalkan Versys-X 250 ke pasaran Malaysia pada harga yang kompetitif.
“Motosikal ini melambangkan semangat pengembaraan dan sesuai buat rider yang gemar tunggang lasak. Dengan ciri-ciri yang luar biasa dan harga berpatutan, kami percaya ia akan menjadi pengubah segmen touring,” katanya.
Model touring itu menawarkan posisi tunggangan yang ergonomik dan dilengkapi dengan kotak simpanan sisi.
Ia turut didatangkan dengan pannier keras, lampu kabus LED, outlet DC dan tongkat sisi serta tengah.
Tawaran tangki minyak 17 liter memberikan tunggangan jarak jauh tanpa perlu kerap mengisi petrol.
Keselesaan tunggangan jauh disokong dengan suspensi terbalik teleskopik 41mm (depan) dan bottom-bink Uni-Trak di belakang bersama tayar bersaiz 100/90-19M (depan) dan 130/80-17M (belakang).