Seorang TikToker yang menggunakan akaun Farah Wen berkongsi perjalanan membeli sebuah hypercar.
Ahli perniagaan dengan lebih daripada 343,000 pengikut itu sering berkongsi kehidupan seharian di akaun media sosial miliknya. Dipercayai Farah Wen terbang ke Hong Kong walaupun tidak berkongsi lokasi ketibaan.
@farahwen Day well spent ✈️ #fyp
Pagani memiliki empat buah pusat jualan di Asia merangkumi Jepun, Singapura dan Hong Kong. Sementara Hong Kong merupakan ibu pejabat Pagani Asia Pasifik dan Oceania.
Namun, berdasarkan video yang dikongsi, pada bahagian lencana plat kenderaan tertulis ‘I Automobile Group’ yang merupakan pusat jualan kenderaan eksotik dan mewah di Hong Kong.
Tinjauan Motoqar pada laman web tersebut, terdapat dua model Pagani untuk dijual iaitu Huayra Tempesta tahun 2011 dan 2015.
Model yang dilihat ahli perniagaan wanita berwarna kuning dan hitam itu merupakan model 2015. Berdasarkan spesifikasi yang dikongsi, hypercar itu tidak pernah didaftarkan dengan perbatuan mencapai tiga angka.
Pagani Huayra Tempesta dengan badan gentian karbon itu dijana oleh enjin 6.0 liter turbo berkembar Mercedes-AMG M158 V12 bersama transmisi 7-kelajuan.
Bagaimanapun, pada laman web tersebut tidak dinyatakan harga jualan hypercar tersebut.
Pakej Tempesta direka untuk menjadikan Huayra mirip Pagani Zonda Cinque. Pakej berharga sekitar USD 180,000 (RM844,290) itu merangkumi kerja badan, komponen gentian karbon tambahan serta dipadankan dengan sistem ekzos baharu.
Keseluruhan bahagian bawah kereta diolah semula untuk aliran udara lebih baik. Ia dicantumkan dengan splitter depan baharu dan diffuser belakang.
Perubahan aero disertakan dengan persediaan suspensi diubahsuai yang menampilkan peredam Ohlins boleh laras empat peringkat. Ini dibangunkan khas untuk Huayra.
Diikat padanya ialah satu set rim baharu yang lebih besar berbanding standard dengan 20 inci (depan) dan 21 inci (belakang).
Pagani Huayra (sebutan Itali waira) ialah hypercar enjin pertengahan yang dikeluarkan pengeluar Itali menggantikan tawaran syarikat sebelum ini, Zonda.
Ia dinamakan sempena Wayra Tata, dewa angin Quechua. Model pengeluaran dimulakan pada 2011 sehingga kini menerusi model Huayra, R, BC, Roadster dan Roadster BC.