Pakar: Henti beri diskaun saman trafik

507

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menghentikan pemberian diskaun saman kepada pesalah yang melakukan kesalahan trafik.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata amalan pemberian diskaun akan menyebabkan pengguna jalan raya tidak menghormati undang-undang.

Gambar hiasan

Menurutnya, amalan pemberian diskaun saman trafik itu juga bukan perkara yang baik.



“Malaysia satunya negara (yang memberikan diskaun). Saya tak pernah dengar negara lain memberi diskaun saman. Tidak ada. Negara jiran kita pun tiada. Singapura ada ke? Singapura tidak ada.

“Kita (sepatutnya) tak boleh gunakan alasan beri diskaun supaya kita nak orang bayar saman. Bila kita sebut sedemikian, ia seolah-olah memberikan mesej anda mahu duit mereka.

“Maklumat ini telah dihadam oleh orang ramai. Akhirnya undang-undang tidak dihormati,” katanya.

Mengulas lanjut, Teik Hua berkata, Sistem Pemberian Mata Demerit Jalan Raya (Kejara) juga seharusnya ditingkatkan tahap efisiennya.

“Jika sistem ini diaktifkan, kalau anda banyak buat kesalahan, lesen anda akan dibekukan.

“Yang kedua ialah sistem pengkalan data JPJ dan polis perlu dikongsi. Mereka tidak boleh menguruskannya secara berasingan. Apabila mereka menguruskan secara berasingan, ia akan melemahkan kesan atau impak Sistem Kejara.

“Bagi mereka mendapat maklumat yang terkini berkaitan kesalahan trafik, pengkalan data ini mesti diselaraskan. Saya rasa ini salah satu cara efisien bagi menyelesaikan masalah (mereka yang tak bayar saman). Kalau tidak, semua orang tak takut,” katanya.

Laporan sebelum ini, sebanyak RM52.772 juta saman aktif tertunggak kenderaan perdagangan melibatkan pelbagai kesalahan dikesan masih belum dilunaskan pesalah dan syarikat kenderaan perdagangan sejak 2018.

Pengarah Penguatkuasa Kanan JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, sebanyak 175,909 saman masih aktif dan tertunggak melibatkan pemilik syarikat kenderaan perdagangan seluruh negara.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here