Lebih daripada 10,000 pengunjung dan 4 juta penonton online menyaksikan perlumbaan akhir Toyota Gazoo Racing Festival musim keenam yang melabuhkan tirainya hujung minggu lalu.
Pada perlumbaan berkenaan, Toyota Vios baharu dengan kemasan lumba penuh membuat kemunculan rasmi yang bakal digunakan pada perlumbaan musim ketujuh.
UMW Toyota Motor menerima pengiktirafan daripada Pertubuhan Sukan Pemotoran Malaysia (MAM) dalam mempromosikan sukan perlumbaan secara skala besar dan menyumbang kepada pembangunan anak muda serta bakat masa depan sukan pemotoran.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran berkata kereta lumba GR Vios Challenge serba baharu itu akan digunakan dalam tiga kelas lumba utama iaitu Super Sporting, Sporting dan Promotional bermula 2024 hingga 2027.
“Format one-make race akan dikekalkan dan ditambah baik untuk masa depan di samping mengekalkan objektif kami yang bukan sahaja menjadikan perlumbaan ini adil dan bergantung kepada kemahiran, tetapi juga menjadikan sukan pemotoran yang mudah disertai daripada segi kos,” jelasnya.
Sebanyak 45 pelumba bersaing dalam kelas Super Sporting kategori elit dan pemandu profesional; kelas Sporting (amatur); kelas Rookie (pemandu muda) dan kelas Promotional (selebriti).
Bagi kelas Rookie, Ariff Azmi menjuarai perlumbaan dengan 89 mata diikuti Iman Danish (79 mata) dan Nazmir Azlan (77 mata).
Kelas Promotional pula menyaksikan Zizan Razak muncul juara dengan kutipan 101 mata, diikuti Ezzrin Loy (98 mata) dan Shukri Yahaya (65 mata).
Kelas Sporting pula dijuarai Bradley Benedict dengan 78 mata manakala Mitchell Cheah muncul pemenang pertama bagi kelas Super Sporting.