Smart Malaysia rasmi memperkenalkan Smart #1 Brabus pada Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS).
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata Smart Malaysia teruja untuk membuka laluan baharu bagi pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan.
“Smart #1 Brabus varian tertinggi menggabungkan teknologi canggih, prestasi EV yang luar biasa dan keselesaan tanpa kompromi,” katanya.
Smart #1 Brabus merupakan EV berprestasi yang dilengkapi trenkuasa dua motor pacuan semua roda dengan kuasa 315kW dan tork 543Nm. Pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 3.9 saat.
Kemudian, ia dipandakan dengan empat mod pemanduan iaitu Eco,Comfort, Sport dan Brabus. Selain itu, penampilan luaran yang aerodinamik diserlahkan dengan kit aero Brabus bersama rim bersaiz 19-inci.
Gril depan bercahaya dipadankan dengan lampu depan cybersparks + matrix LED bersama lampu nyala siang (DRL).
Tidak ketinggalan turut tersedia rel bumbung dan bumbung halo panorama yang menawarkan pencahayaan tambahan dalam kabin.
Bahagian dalam dilengkapi dengan trim ‘BRABUS’ yang eksklusif. Stereng kemasan alcantara dipadankan dengan logo Brabus iluminasi.
Pemilik juga boleh memilih lampu ambien 64-warna mengikut mood dan keperibadian tersendiri. Kerusi pemandu dan penumpang depan didatangkan dengan pelarasan elektrik 10-cara.
Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah skrin infotainmen CSD 12.8-inci, kluster meter HD penuh 9.2-inci dan paparan head up berwarna penuh 10-inci.
Smart #1 Brabus juga menawarkan ketersambungan hospot 4G dan wifi, sistem navigasi binaan dalam, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem audio 13 pembesar suara dan pengecas telefon tanpa wayar.
PENGECASAN
Pek bateri NCM kapasiti 66 kWh menawarkan jarak pemanduan sejauh 400km dengan sekali cas penuh. Sistem pengecasan pula disokong AC 22 kW (10-80 peratus SoC dalam 3 jam) dan pengecasan DC 150 kW (10-80 peratus SoC dalam 29 minit).
Sistem keselamatan pula, varian Brabus itu didatangkan dengan ADAS L2+, Kawalan Kruise Adaptif (ACC), Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Sokongan Mitigasi Perlanggaran Depan dan Belakang (FRMS, RCMS), Bantuan Kekal Lorong (LKA), bantuan parkir 360 darjah, 7-beg udara dan lain-lain.
Versi prestasi itu didatangkan dengan tujuh kombinasi warna badan berbeza. Jika memilih bumbung Radiant Red, pembeli boleh memilih warna luaran Atom Grey – Matte, Meta Black dan Cyber Silver.
Manakala padanan bumbung hitam menggabungkan pilihan warna badan Digital White, Laser Red dan Cyber Silver. Akhir sekali, terdapat warna monotone Atom Grey – Matte.
Anggaran harga bagi Smart #1 Pro, Premium dan Brabus adalah dari RM200,000 hingga RM250,000.
Tempah boleh dibuat menerusi Aplikasi Hello Smart dan pelanggan terawal Smart #1 Early Bird bakal mendapat kredit pengecasan bernilai RM1,001. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang EV tersebut, sila layari laman web Smart.