Seorang pengguna Facebook, Syahmi Sarif berkongsi rasa simpati apabila terserempak lima beranak berkongsi sebuah motor (Yamaha 110SS) meredah perjalanan sejauh 200km.
Jelasnya sepanjang perjalanan ulang-alik setiap hari dari Ajil ke AMBS, banyak kali dirinya terserempak kenderaan rosak.
Cuma kali ini situasinya berbeza, dia bertemu dengan ketua keluarga menunggang motor bersama tiga anak dan isteri.
“Terkejut saya, dari Temerloh ke Kuala Terengganu naik motosikal. Dengan anak-anak lagi, bayi lagi, tak terbayang lenguh tangan mak (isteri) dia dukung bayi atas motosikal.
“Saya berhenti tanya dari mana?, dia kata dari Temerloh, nak ke Terengganu sebab nak gi tempat kerja,” kongsinya di grup Facebook Kuala Terengganu Residen.
Syahmi yang menunggang motor turut mempelawa beberapa kali untuk menumpangkan dua anak pasangan itu bagaimanapun mereka menolak.
“Saya tawar untuk bawakan dua anak yang besar naik sekali, banyak kali tawar, tetapi dia sambil senyum cakap takpa bang.
“Saya kejar lepastu berhenti pula depan dia, tanya ok tak?, tawar sekali lagi tolong bawa, dia senyum cakap takpa bang dan pergi,” tulisnya.
Oleh kerana hujan, Syahmi mengikut pasangan tersebut dari belakang bagi memastikan keselamatan mereka. Pada hantaran itu, dia turut meminta warga maya mendoakan keluarga tersebut.