GAC Hycan V09 rasmi dilancarkan di China menerusi lima varian pada harga antara CNY 318,800 hingga 438,800 (RM208,170-RM286,528).
Ia menawarkan dua jarak perbatuan iaitu 620km menerusi tiga pilihan varian iaitu Honour, Honour (cas pantas) dan Flagship manakala jarak 762km pula didatangkan dengan dua varian iaitu Luxury dan Honour.
MPV itu dibina berdasarkan seni bina elektrik tulen H-EGA yang dilengkapi dengan platform SiC (Silicon Carbide) voltan tinggi standard 800V dengan motor depan magnet segerak kekal (202 kW/225 Nm) serta kelajuan maksimum 190kmj.
Hycan V09 didatangkan dengan tiga varian kapasiti bateri mengikut varian iaitu pek bateri mangan nikel kobalt 92 kWh, fosfat besi litium 95.16 kWh atau mangan nikel kobalt 114.19 kWh.
Diposisikan antara MPV medium hingga besar, Hycan V09 memiliki panjang 5,215mm; lebar (1,967mm) dan tinggi (1,910mm) serta jarak roda 3,170mm. Operasi keluar dan masuk penumpang lebih mudah menerusi pintu gelangsar.
Fascia depan didominasi ruangan kosong di bahagian tengah yang biasanya menempatkan komponen gril.
Muka depan Hycan V09 menampilkan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang digabungkan dengan lampu utama di sepanjang garisan hud depan. Logo jenama itu tersembunyi di tengah-tengah muka depan dan boleh dinyalakan serentak dengan lampu DRL.
Di sisi kiri dan kanan disematkan jalur kemasan krom bentuk C. Sementara, apabila lampu belakang dinyalakan kelihatan seperti tali leher yang memanjang.
Kemudian, GAC memilih radar gelombang milimeter di bahagian bawah manakala varian dengan 762 mempunyai lidar di atas cermin depan.
Susun atur kabin pula didatangkan dengan bentangan tujuh kerusi (2+2+3) dan tempat duduknya dibalut dengan kulit tiruan dan Nappa.
Sementara, barisan depan dan kedua didatangkan standard dengan pelarasan elektrik serta fungsi pemanas, ventilasi dan urutan.
Bahagian bonet menawarkan saiz but 610 liter manakala apabila kerusi barisan ketiga dilipat penuh memberikan ruang simpanan lebih banyak menerusi 2,430 liter. Terdapat juga bagasi depan berkapasiti 32 liter.
MPV itu dilengkapi dengan 23 sensor sekeliling kenderaan, menampilkan 30 fungsi bantuan pemanduan termaju dan 16 fungsi bantuan parkir. Khususnya, varian tertinggi dilengkapi dengan lidar 130 baris, radar gelombang lima milimeter, 12 radar ultrasonik, satu kamera depan definisi tinggi dan empat kamera pandangan sekeliling.
Kokpit menggunakan susun atur simetri yang dipadankan dengan skrin instrumen LCD 10.25 inci, skrin kawalan pusat 14.6 inci dan skrin hiburan penumpang depan 12.3 inci.
Model peringkat permulaan dilengkapi dengan cip tunggal Qualcomm Snapdragon 8155, manakala model lain dilengkapi dengan cip dual Qualcomm Snapdragon 8155, menyokong kawalan suara dan interaksi.
Terdapat juga panel pengecasan tanpa wayar untuk telefon mudah alih di baris pertama dan kedua, sistem bunyi 22 pembesar suara (varian terendah ialah 11 pembesar suara), peti sejuk, dan skrin siling baris kedua bersaiz 17.3 inci.