[SIRI 2] Rahsia jimat wang…beli kereta baharu hujung tahun?

1600

Pelbagai faktor boleh mempengaruhi perubahan harga kereta dan isu terkini salah satunya kenaikan cukai perkhidmatan (ST) sebanyak 8 peratus.

Walaupun terlalu awal mengandaikan kesan signifikan pada kenaikan harga kenderaan namun pengguna akan terkesan pada penambahan kos penyelenggaraan.



Situasi tersebut diakui oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah. Beliau menyatakan kesan caj baharu kepada pengguna masih tidak dapat dijangkakan.

“Tetapi bagi dua bulan terakhir 2023, industri automotif mungkin akan mengalami peningkatan permintaan apabila pengguna membeli kenderaan baharu sebelum peningkatan cukai perkhidmatan tahun depan.

“Memilih untuk membeli kereta sebelum pelaksanaan kenaikan cukai perkhidmatan boleh menjadi strategi yang bijak. Harga kenderaan mungkin masih berada pada tahap lebih rendah, dan pembeli dapat mengambil kesempatan untuk menjimatkan wang,” kongsinya kepada Motoqar. 

RAKYAT MALAYSIA SUKA MEMANDU

Manakala Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Mualamat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid  menjelaskan kesan paling ketara akibat kenaikan ST yang melibatkan perkhidmatan adalah penyelenggaraan. 

“Tahun depan dengan kenaikan cukai ini akan memberi impak, kenaikan kos kepada para pengguna misalnya belanjawan servis kereta perlu ditambah lagi,” jelasnya.

Bercakap kepada Motoqar, Mohd Afzanizam menyatakan dalam tempoh terdekat atau serta merta kemungkinan ada kesan tetapi kemudian keadaan akan menjadi normal kembali.

“Kita perlu ingat masyarakat di Malaysia ini memang gemar memandu kereta.

“Kalau ada berlaku kenaikan harga, mungkin pada peringkat permulaaan, barangkali akan ada needed reaction sikit. Lepas itu mula menjadi normal balik apabila keadaan menjadi stabil,” kongsinya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan dalam kalangan pengguna akan ada keperluan menukar kenderaan apabila melibatkan kenderaan lama.

“Kereta..semakin lama kita pakai akan mengalami kerosakan, guna dua, lima tahun.. selepas itu selera menukar kereta akan ada. Tabiat itu faktor dominan,” jelasnya.

NAK JIMAT BELI KERETA SEBELUM NAIK HARGA? 

Jadi, adakah hujung tahun ini masa terbaik mencari kenderaan mengambilkira kemungkinan harga kenderaan bakal naik susulan ST baharu dan nilai Ringgit yang semakin jatuh.

Pada akhir tahun juga pelbagai kempen dan promosi ditawarkan oleh pengeluar sekaligus menawarkan penjimatan berganda buat pelanggan. 

1. Tawaran Promosi dan Diskaun

Pengeluar kenderaan akan memberikan promosi akhir tahun termasuk diskaun, tawaran kewangan khas, dan insentif lain. 

Mereka juga perlu mencapai sasaran jualan tahunan, ini memberikan anda peluang mendapatkan tawaran lebih baik dan jauh menjimatkan. 

Misalnya Honda Malaysia menawarkan Kempen ‘Last Call Bonanza’ menerusi tawaran ganjaran bernilai pada model tertentu misalnya: 

  • Accord : RM12,000
  • City Hatchback : RM2,500
  • City sedan: RM1,500 
  • CR-V : RM8,000

Manakala UMW Toyota Motor pula menawarkan penjimatan Oktober bagi Toyota Vios sebanyak RM5,000 dan Yaris baharu (RM7,500). Perodua pula memberikan rebat RM1,000 bagi jualan Aruz terpakai.

2. Elak Harga Naik

Membeli kereta baharu hujung tahun ini bagi mengelak kemungkinan kenaikan harga kereta bakal menjimatkan bajet anda. 

Dengan ST 6 peratus dikenakan pada logistik yang melibatkan operasi menghantar alat ganti dan kereta serta tambahan caj 2 peratus pada servis pasti ada impak pada rantaian bekalan dan ekosistem.

Selain itu, nilai Ringgit yang tidak menentu juga bakal menyumbang kepada kenaikan harga kenderaan tahun depan. 

Kebimbangan nilai Ringgit jatuh berbanding mata wang asing yang digunakan dalam perdagangan antarabangsa, maka kos import komponen kereta dari luar negara boleh meningkat. Ini akan memberi tekanan kepada harga akhir kenderaan. 

Seperti yang dinyatakan oleh pakar pada Siri 1, kos tambahan ini akan dipindahkan kepada pengguna dan sukar untuk pengeluar menyerap kenaikan.

3. Subsidi Diesel Bersasar

Apabila kerajaan mengumumkan dalam bajet pemberian subsidi diesel secara bersasar kemungkinan bakal meningkatkan kos bahan api bulanan pemilik.

Walaupun belum ada lagi mekanisma yang bakal diambil, namun tindakan ini mungkin memberi kesan kepada kenderaan diesel.

Tentunya ada antara pemilik yang ingin mencari alternatif model petrol di pasaran misalnya beralih kepada SUV dan sedan. 

Di pasaran terdapat pelbagai pilihan kenderaan petrol misalnya Honda HR-V, Toyota Corolla, Perodua Ativa dan Proton S70 yang bakal lancar nanti. 

4. Servis Buruh Percuma

Walaupun kenaikan pada caj buruh pada bil servis, beberapa jenama kenderaan menawarkan kos buruh percuma.

Honda Malaysia misalnya menawarkan lima kali kos buruh percuma bagi selang servis sepanjang lima tahun pemilikan. 

Manakala Mazda Malaysia pula memberikan 5-tahun waranti + 5-tahun penyelenggaraan servis percuma meliputi pelincir, alat ganti hingga buruh.

Toyota pula menawarkan pakej penjimatan servis antara lima dan tiga tahun bagi pelanggan baharu dan pemilik sedia ada menerusi pakej dua tahun.

5. Pinjaman sewa beli

Bagi beberapa kes, kadar faedah pinjaman sewa beli lebih baik boleh didapati di hujung tahun. Ini memberi kelebihan kepada pemilik mendapatkan ansuran bulanan yang rendah. 

Selain itu, pengguna Malaysia didorong dengan nilai jual semula kenderaan ketika pembelian kereta baharu. 

Bagi mengelak susut nilai yang banyak sekiranya ingin menjual semula kenderaan di bawah lima tahun, pilihlah jenama yang ada nilai jual semula yang tinggi misalnya Perodua dan Honda.

Sebelum membeli kereta, lakukan penyelidikan untuk mengenalpasti model yang sesuai dengan keperluan dan bajet. 

Terlepas Siri 1?…boleh klik SINI 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here