Set pertama Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan reka bentuk yang ditambahbaik hampir siap dan dijangka dihantar ke Malaysia tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pemasangan perkhidmatan penggerak penumpang automasi itu dilakukan di kilang Wuhu, Anhui, China.
Ia merupakan usaha sama antara syarikat Alstom dengan China Railway Construction Corporation Limited (CCRC) yang kini sudah mencapai 90 peratus kemajuan.
“Seperti yang kita sedia maklum, Aerotrain telah diberhentikan di KLIA yang menyambung di antara Terminal Utama dan Terminal Satelit.
“Kerana projek untuk menaiktaraf sedang dilaksanakan. Hari ini saya meninjau perkembangan dan saya diberikan taklimat dan difahamkan bahawa set pertama Aerotrain ini hampir siap.
“Set pertama mempunyai tiga kereta, set pertama Aerotrain kita telahpun dipasang hampir siap keseluruhannya.
“Saya difahamkan set pertama ini dapat disiapkan, dah hampir 90 peratus dan rekaannya adalah seperti sebelum ini iaitu tidak mempunyai tempat duduk untuk menghubungkan dua terminal untuk satu jarak yang agak dekat.
“Tetapi ada satu tambahan dari segi kemudahan dan keluasan, ada kerusi disediakan untuk warga tua dan tingkap lebih besar sudah pemangan lebih luas dan cerah,” kongsinya di akaun Facebook rasmi menerusi video ringkas.
Di samping itu, Anthony Loke juga berharap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dapat menyelesaikan isu kontrak supaya perkhidmatan Aerotrain di KLIA dapat dikembalikan pada kadar segera.