Selepas beberapa bulan dilancarkan di Jepun, MPV popular untuk masyarakat Malaysia iaitu Toyota Alphard dan Vellfire serba baharu dilancarkan secara rasminya oleh UMW Toyota Motor (UMWT).
Toyota Alphard 2.4T Executive Lounge dijual pada harga RM538,000 tanpa insurans, manakala Toyota Vellfire 2.5 boleh didapati pada harga RM438,000 tanpa insurans.
Kenderaan itu menetapkan standard baharu untuk ciri-ciri termaju, menawarkan penyelesaian pengangkutan yang cekap dan mewah kepada mereka dengan mengutamakan kecanggihan, reka bentuk anggun serta teknologi terkini.
Dari integrasi teknologi terkini hingga ruang dalaman yang versatil dan luas, kedua-dua model ini memberikan pengalaman pemanduan yang tiada tandingannya.
Galeri Toyota Alphard
Toyota Alphard untuk pasaran Malaysia ditawarkan hanya varian Executive Lounge yang mana ia menggunakan enjin enjin 2.4L turbocharger. Ia menyalurkan 205PS dengan tork setinggi 430Nm, selain dipadankan transmisi lapan kelajuan direct shift.
Toyota Vellfire pula, menggunakan enjin 2.5L NA yang hanya memiliki 134PS dengan tork setinggi 235Nm dengan dipadankan transmisi Sport Sequential Shiftmatic 7 Kelajuan CVT.
Kadar ketegaran 50 peratus lebih kuat
Kedua-dua MOV itu menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), atau lebih spesifik ia menggunakan platfrom TNGA dari versi GA-K.
Kerangka baharu itu menampilkan asas lurus serta pendakap berbentuk-V pada bahagian bawahnya bagi memberikan kadar ketegaran 50 peratus lebih kuat dan 30 peratus kurang getaran berbanding model sebelum ini.
Berkenaan saiz, kedua-dua kembar MPV ini dilihat hampir sama seperti model generasi sebelumnya. Ia lebih panjang dengan ukuran 5,101 mm (Alphard) manakala 5,005 (Vellfire), tetapi lebar dan jarak roda kekal masing-masing 1,850 mm dan 3,000 mm. Tinggi untuk Alphard dan Vellfire 2023 ini adalah sama iaitu 1,950mm.
Walaupun menggunakan asas sama, kedua-duanya berbeza dengan kemasan luar. Seperti yang kita tahu, Alphard tampil dengan imej lebih eksklusif dan mewah, dengan gril bersaiz besar bersama elemen bersalut krom, diapit dengan lampu hadapan LED yang lebih tirus serta jalur lampu nyalaan siang di bawahnya yang kelihatan seperti sebahagian dari gril.
Pengalaman mirip di dalam sebuah jet peribadi.
Vellfire lebih kepada penampilan sport selepas dilengkapi gril dengan elemen bar krom tebal yang disusun tebal melintang, dan juga lampu hadapan yang nampak lebih tebal. Lampu kabusnya seakan-akan serbuk kristal.
Untuk bahagian dalam, Alphard dan Vellfire 2023 berkongsi rekaan terkini yang sama. Papan pemukanya kini menampilkan rekaan lebih ringkas di mana butang-butang fizikal untuk kawalan pelbagai fungsi kini sudah diletakkan pada skrin utama sebagai suis digital.
Ketika melangkah masuk ke dalam kabin, Alphard dan Vellfire menawarkan pengalaman yang mirip seakan-akan berada di dalam sebuah jet peribadi.
Galeri Toyota Vellfire
Gabungan kemasan kulit dan ira kayu, berserta dengan Bumbung Kaca Panorama tetap yang menyinari kabin dengan cahaya semula jadi, mewujudkan suasana kemewahan. Kokpit pemandu direka dengan teliti bagi memberikan akses mudah kepada suis dan kawalan mekanikal.
Penumpang hadapan dan barisan pertama belakang boleh menikmati keselesaan kerusi yang dilengkapi dengan sistem pemanasan dan pengudaraan. Sementara itu, model Alphard Executive Lounge pula didatangkan dengan sesuatu yang lebih istimewa iaitu fungsi urutan eksklusif pada kerusi barisan pertama.
Dilengkapi dengan teknologi Toyota Safety Sense termaju, termasuk Dynamic Radar Cruise Control, Lane Departure Alert, Road Sign Assist, dan Adaptive High-beam System yang dipertingkatkan, keselamatan sentiasa diutamakan tanpa menjejaskan pengalaman yang serba mewah.
Kedua-dua model ini didatangkan dalam empat warna menawan:
- Platinum White Pearl
- Precious Metal
- Precious Leo-Blond (Alphard sahaja)
- Hitam.
Untuk mengoptimumkan kebebasan mobiliti, Alphard dan Vellfire serba baharu ini didatangkan dengan jaminan penuh 5 tahun.