Sepasang kekasih ditahan disyaki terlibat dalam jenayah mencuri van dan menjualnya semula di sekitar Ampang ini bermula Jun sehingga Oktober lalu.
Kegiatan itu terbongkar apabila seorang warga emas berusia 62 tahun membuat laporan kehilangan Nissan Vanette di tepi Jalan Bunga Melur 12, Taman Muda.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata pengadu yang bekerja sebagai kontraktor itu mahu menggunakan van itu pada jam 7 pagi, 10 Oktober lalu dan menyedari kenderaannya hilang.
“Dalam van itu mengandungi peralatan kerja pemasangan mozek.
“Polis menangkap seorang lelaki dan perempuan berusia 37 dan 32 tahun yang tidak bekerja di Taman Maluri pada 31 Oktober,” katanya.
Suspek mempunyai 19 rekod jenayah dan 11 rekod narkotik manakala suspek kedua tiada rekod jenayah. Ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamin.
Polis turut merampas sebuah van dan kereta, telefon bimbit (5), Ipad (1), spanar (4), topi keledar, jam tangan (4), mesin pengukur elektronik dan pelbagai rantai.
Mohd Azam berkata suspek aktif melakukan curi van sekitar Ampang dan Kuala Lumpur. Kes disiasa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan merujuk kepada melakukan kesalahan mencuri kenderaan.
Sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan tidak lebih tujuh tahun.