Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memiliki barisan koleksi kenderaan mewah yang ‘rare’ bahkan sukar dilihat di jalan raya.
Bermula dari kereta sukan, supercar, hypercar sehinggalah unit terhad dan klasik. Pernahkah anda terfikir kenderaan pertama yang dimiliki oleh baginda?.
Menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’ episod 61 bersama TMJ, Khairy Jamaluddin bertanyakan kereta pertama miliknya.
“Kereta pertama saya ialah Kancil, JBL 2,” jawab baginda.
TMJ menyatakan kereta itu masih dalam simpanan dan keadaan baik.
“Kereta kedua saya, selepas habis kursus Pegawai Muda di Pulada. Ayah saya sangat bangga, dan naik taraf sikitlah Perdana V6. Saya masih menyimpannya,” kongsi baginda.
Beberapa tahun lalu, TMJ pernah berkongsi Perodua Kancil hitam tersebut di akaun Facebook JOHOR Southern Tigers.
Baginda berkongsi imej dengan Kancil tersebut pada 2018 dengan kapsyen “Inilah kenderaan pertama saya yang dikurniakan kepada saya oleh DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor sewaktu saya memperoleh lesen kenderaan buat pertama kalinya.”
Perodua Kancil dilancarkan pada tahun 1994 yang namanya diambil sempena binatang bijak yang pernah muncul dalam cerita kanak-kanak zaman dahulu.
Jualan Kancil dihentikan pada 2009 dengan jualan 722,223 unit dan digantikan dengan Perodua Kelisa.
Kancil mempunyai tiga model berbeza iaitu 660EX, 850EX dan 850EZi serta empat versi naiktaraf.