Proton menyasarkan jualan kira-kira 2,000 unit sedan terbaharu, S70 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata anggaran jualan berkenaan berdasarkan permintaan dan tempahan serta dijangka meningkat sekiranya permintaan bertambah.
“Pada minggu pertama pelancaran ‘line off’ (31 Oktober), kita telah merekodkan 400 tempahan, pada hari yang sama juga kita telah membuka tempahan dengan pembayaran deposit RM500,” katanya selepas menghadiri majlis lawatan Naib Presiden China, Han Zheng ke Proton Tanjong Maliim, baru-baru ini.
Tambah beliau, jumlah tempahan dijangka bertambah selaras dengan aktiviti jelajah yang akan dilaksanakan pasukannya bagi memperkenalkan sedan itu kepada pengguna dan pelancaran rasmi serta pengumuan harga yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Pada 31 Oktober lalu, Proton melancarkan S70 pada barisan pengeluaran. Model itu dikeluarkan di kilang Proton Tanjong Malim.