Pada majlis previu Proton S70 dua minggu lalu, pengeluar rasmi kenderaan nasional itu turut mempamerkan S70 Flagship X yang dilengkapi dengan kit badan lengkap.
Bagaimanapun, ketika disoal tentang tawaran aksesori berkenaan Proton enggan mendedahkan maklumat terperinci yang mana meminta media tempatan menunggu hari pelancaran yang bakal diadakan 28 November ini.
Namun, kami difahamkan kit badan lengkap seperti spoiler ekor itik, lid bampar dan skirting itu ditawarkan pada varian Flagship X. Bahkan, bumbung suria juga hanya ditawarkan pada varian tertinggi berkenaan.
Apapun kita tunggu pelancaran rasmi model berkenaan minggu depan yang mana kiraan detik sudahpun dipaparkan pada laman web rasmi Proton.
Proton S70 didatangkan dengan enjin 1.5L turbo 3-silinder yang menghasilkan kuasa 150PS dan tork 226Nm bersama transmisi dual klac 7-kelajuan. Sedan tersebut didatangkan dengan empat pilihan varian iaitu Executive, Premium, Flagship dan Flagship X.