Modenas ZX-25R rasmi lancar pada September lalu dan seramai 100 pemilik pertama menerima sportbike tersebut.
Sejak pembukaan tempahan pada Ogos sehingga hari pelancaran, EMOS menyatakan menerima lebih daripada 260 unit tempahan.
Berdasarkan pemerhatian Motoqar di grup Facebook Modenas Ninja ZX-25R 4 Cylinder Malaysia ada antara pelanggan terawal yang masih menunggu penghantaran ZX-25R.
Motoqar cuba dapatkan informasi berkaitan isu tersebut. Menurut sumber boleh dipercayai, sekitar 400 unit Modenas ZX-25R (termasuk 100 unit pertama) diperuntukkan bagi tahun ini.
Bagaimanapun, kesemuanya sudahpun habis ditempah. Difahamkan, pelanggan perlu menunggu stok kumpulan seterusnya yang dijangka tiba pada penghujung Januari tahun depan.
Modenas ZX-25R SE pasaran Malaysia dijual pada harga cadangan RM33,900 seunit. Ia menghasilkan kuasa 46hp @ 15,500rpm dan 22Nm @ 12,500rpm bersama transmisi 6-kelajuan automatik dengan bantuan klac dan slipper.