Tesla Cybertruck yang sedang ‘hype’ tidak akan memberi banyak manfaat kepada pengilang EV yang diketuai Elon Musk, sekurangnya dalam jangka pendek.
Membatalkan jualan adalah jalan terbaik bagi saham syarikat, kata Penganalisis Jefferies, Phillipe Houchois.
Beliau menyatakan sedemikian selepas mengurangkan sasaran harga USD210 (RM983) per saham Tesla merujuk kepada pengurangan pendapatan dan anggaran aliran tunai.
Mengambilkira hanya tinggal seminggu penghantaran Cybertruck kepada pelanggan, ia merupakan pandangan yang agak berani.
“Tesla sepertinya terperangkap di lorong perlahan selama 12 hingga 18 bulan lagi dan tidak dapat memanfaatkankan kelewatan tersebut.
“Sementara OEM Eropah bakal lancar EV versi murah tahun depan serta pembuat kereta China menetapkan rentak baharu kitaran produk yang lebih pendek,” tulis Houchouis.
Ini seiring dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Musk ketika bentangan kewangan suku ketiga bulan lalu.
“Saya hanya mahu meredakan jangkaan untuk Cybertruck.
“Ia adalah produk yang hebat, tetapi dari segi kewangan akan mengambil masa setahun hingga 18 bulan sebelum menyumbang aliran tunai yang signifikan dan positif. Saya harap ada cara untuk jadi berbeza tetapi itu hanya tekaan terbaik saya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu.
Houchois menambah daripada membelanjakan sumber yang besar pada pengeluaran Cybertruck, syarikat itu sebaliknya menumpukan segmen global volum tinggi dan bekalan 4680 untuk Model Y.
Acara penghantaran yang ditunggu-tunggu pada 30 November semakin hampir, Cybertruck akhirnya menjadi kenyataan selepas empat tahun pelancaran.
Bagaimanapun, Tesla bakal menghantar 10 Cybertruck pada akhir bulan ini yang kesemuanya kebarangkalian akan diserahkan kepada pekerja. Sama seperti awal penghantaran Model 3 kepada 30 pekerja syarikat pada tahun 2017.