Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan kegiatan sindiket penipuan di media sosial termasuk Facebook dan Telegram yang menjanjikan pengeluaran lesen memandu secara murah dan mudah tetapi tidak sah di sisi undang-undang.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos berkata hasil pemantaun mendapati sindiket mempromosikan iklan menggunakan pelbagai kaedah pujukan.
“Operasi sindiket memaparkan gambar lesen memandu JPJ bagi menarik dan memikat orang ramai mendapatkan lesen tanpa ujian.
“Boleh didapati dalam tempoh yang singkat, murah, mudah dan sukar dikesan pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambah beliau, memiliki lesen tidak sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 108 Akta 333 serta memandu tanpa lesen sah bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi terdedah kepada risiko kemalangan yang membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.
JPJ telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengesan pemilik akaun di media sosial yang menawarkan dan menjalankan operasi sindiket penipuan untuk tindakan selanjutnya.
Dalam hal ini, JPJ mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan sindiket penipuan pengeluaran lesen memandu secara tidak sah, yang menggunakan pelbagai kaedah serta teknikal komunikasi berbeza bagi mempengaruhi pemikiran orang ramai.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan iklan lesen memandu yang meragukan serta tidak berkongsi maklumat tidak sahih, agar tiada lagi mangsa yang tertipu dengan kandungan yang mengelirukan dan sindiket penipuan sebegini.