5- fakta pantas Proton S70 rasmi lancar, harga mula RM73k

996

Sedan segmen-C yang sekian lama dinantikan akhirnya rasmi lancar ke pasaran tempatan. Proton S70 yang berasaskan Geely Emgrand itu didatangkan dengan empat pilihan varian iaitu:

  • 1.5T Executive : RM73,800
  • 1.5T Premium : RM79,800
  • 1.5T Flagship : RM89,800
  • 1.5T Flagship X : RM94,800

*Bagi 3,000 pembeli pertama akan dapat pakej aerokit bernilai RM3,130, baucar servis bernilai RM500 dan naiktaraf program insurans Proton.  

ENJIN 1.5L TURBO



Proton S70 pasaran Malaysia menerima spesifikasi tertinggi berbanding pasaran Asia Tenggara lain yang lebih awal membawa masuk Geely Emgrand.

S70 dilengkapi dengan enjin 1,477cc turbo DOHC 3-silinder yang menghasilkan kuasa 150PS @ 5,500rpm dan tork 226Nm @ 1,750-4,000rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear dual klac 7-kelajuan bersama mod manual.

Untuk makluman, janakuasa tersebut turut digunakan pada X50 Standard, Executive dan Premium. Selain itu, S70 didatangkan dengan mod pemanduan Eco, Comfort dan Sport. 

DIMENSI

Bagaimana pula dengan dimensi sedan segmen-C berkenaan?. Berdasarkan brosur rasmi, S70 memiliki panjang 4,602mm, lebar (1,809mm) dan tinggi (1,466mm) serta jarak roda 2,627mm. 

Sebagai perbandingan, Honda City memiliki panjang 4,580mm, lebar (1,748mm) dan tinggi (1,467mm) serta jarak roda 2,600mm.

Ini menjadikan S70 lebih panjang 22mm, lebar (+61mm) dan jarak roda (+27mm) berbanding City. Namun, sedan Honda itu lebih tinggi 1mm berbanding S70.

Manakala perbezaan dengan sedan segmen-C, Civic lebih panjang 76mm dan tambahan jarak roda 108mm dengan S70. Tetapi, S70 lebih lebar 7mm dan tinggi 61mm berbanding Civic. 

Selain itu, tangki minyak S70 lebih besar iaitu 50 liter berbanding Toyota Vios yang hanya 40 liter. 

Pengendalian lebih baik dan keselesaan dalam kabin diserahkan kepada suspensi MacPherson di depan dan Torsion Beam (belakang) serta tayar bersaiz 205/55R16 (varian Executive, Premium) dan 205/50 R17 (Flagship, Flagship X).

Sementara radius pusingan S70 lebih besar iaitu 5.5 meter manakala Honda City hanya 5.0 meter dan Vios pula 4.8 meter.

Bagaimanapun, saiz but S70 lebih kecil 18 liter berbanding City yang menawarkan kapasiti but 518 liter dan Vios pula lebih kecil  475 liter. 

LUARAN

Buat pertama kalinya Proton menawarkan warna badan baharu Teal Bayou Green bersama enam pilihan yang lain. 

Fascia depan S70 didominasi gril infinite weave dan ethereal bow yang kemudian diapit dengan lampu depan LED bersama DRL. Bagaimanapun, varian terendah ditawarkan dengan lampu halogen.

Proton menawarkan lampu belakang LED pada kesemua varian dan menyerlahkan penampilan belakang S70 adalah bar lampu LED yang panjang merentasi pintu but pada tiga varian tertinggi.

Bagaimanapun, bumbung suria hanya ditawarkan pada varian Flagship X yang mana operasi buka dan tutup melalui skrin infotainmen. 

KABIN

Sebaik melabuhkan punggung pada kerusi pemandu, seolah deja vu yang mana mengingatkan anda kepada X90 menerusi paparan papan pemuka dan kluster meter.

Di belakang stereng, tersedia kombinasi meter LCD bersaiz 10.3-inci manakala sebelah kiri terletaknya tombol gear bentuk T serta punat brek parkir elektrik dan Auto Brake Hold. 

Di tengah papan pemuka terletaknya head unit infotainmen bersaiz 12.3-inci bagi varian Flagship dan Flagship X manakala dua varian terendah mendapat skrin bersaiz 8-inci. 

Pada skrin sentuh tersebut menempatkan segala fungsi kenderaan misalnya pilihan mod, ADAS, kawalan audio dan lain-lain.

Ciri fungsi suara, navigasi online, penstriman muzik online dan ramalan cuaca online, 4G & WiFi, status kenderaan, kawalan jauh dan pengecas tanpa wayar hanya ditawarkan pada dua varian tertinggi.

Kesemua varian didatangkan dengan lima slot USB merangkumi Type A dan C yang mana tiga diletakkan di depan dan selebihnya buat penumpang belakang. 

Varian teratas mendapat enam pembesar suara manakala varian Premium dan Executive dilengkapi dengan empat pembesar suara. Kesemua varian menerima kerusi kulit dan penapis kabin N95 kecuali varian Executive.

CIRI KESELAMATAN

Demi ketenangan minda pemilik, Proton S70 ditawarkan dengan ciri keselamatan standard 6-beg udara, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Auto Brake Hold (ABH), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Traksi (TCS) dan Hill Hold Assist (HHA) serta immobiliser dan penggera anti-curi. 

Proton S70 didatangkan dengan 12 sensor merangkumi kamera monokular, dua radar gelombang milimeter di belakang, kamera keliling (360 darjah) dan lima sensor ultrabunyi.

Ada 13 sistem keselamatan ADAS yang ditawarkan pada dua varian teratas S70:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Perlanggaran Depan (FCW)
  • Amaran Perlanggaran Belakang (RCW)
  • Kawalan Kruise Adaptif (ACC) dengan stop & go
  • Kawalan Kruise Pintar (ICC)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Lane Departure Prevention (LDP)
  • Lane Centering Control (LCC)
  • Maklumat Papan Tanda Trafik (TSI)
  • Bantuan Tukar Lorong (LCA)
  • Amaran Trafik Belakang (RCTA)
  • Amaran Buka Pintu (DOW)
  • Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC)

Sementara itu, Sistem Pemantauan Angin Tayar (TPMS) dan kamera 360 darjah hanya ditawarkan pada dua varian tertinggi. Proton buat pertama kalinya memperkenalkan Rakaman Video Digital (DVR) buat varian Flagship X.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here