Merujuk pengumuman Daihatsu Motor Co., Ltd. (DMC) yang dikeluarkan pada hari ini mengenai penggantungan model-modelnya disebabkan oleh “ketidakaturan prosedur”.
Perodua juga mengeluarkan kenyataannya sebagai maklum balas kepada laporan jawatankuasa audit bebas mengenai “ketidakaturan prosedur” yang dilakukan oleh DMC semasa menjalankan ujian keselamatan kenderaan terhadap beberapa pengeluar kenderaan (OEM), yang diumumkan awal pagi ini.
Laporan jawatankuasa audit bebas sepertimana yang diumumkan oleh DMC menyebut: “Pemeriksaan dan ujian ini mengesahkan bahawa kesemua 174 ketidakaturan yang dikenalpasti oleh jawatankuasa audit bebas memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan”.
Perodua sedang melakukan penilaian terperinci mengenai isu terbabit dan sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia tentang kesan perkembangan ini terhadap kenderaan keluaran mereka.
Pada 28 April 2023, DMC mengumumkan berlakunya “ketidakaturan prosedur” semasa menjalankan ujian keselamatan ke atas kenderaan di Jepun. Berikutan pengumuman itu, DMC telah menubuhkan jawatankuasa audit bebas yang terdiri daripada peguam dan tenaga kerja teknikal.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya memohon maaf kepada pelanggan yang hargai serta orang awam di atas keresahan yang timbul daripada pengumuman ini.
“Niat kami adalah untuk memberi jaminan kepada para pelanggan yang kami hargai.
“Kami akan berkongsi hasil perbincangan ini dengan semua pelanggan kami dalam masa terdekat,” katanya.
Model Perodua yang dikatakan terbabit iaitu Axia generasi pertama dan kedua, Aruz, Alza generasi kedua, Ativa, Myvi dan Bezza. Model Toyota yang disenaraikan ialah Rush, Vios dan Veloz.