Kerajaan Jerman menamatkan lebih awal subsidi kenderaan elektrik (EV) yang seharusnya berakhir tahun depan.
Kerajaan gabungan negara itu menghadapi krisis bajet dan menamatkan program ‘bonus alam sekitar’ pada Ahad.
Subsidi e-kereta asalnya akan berakhir pada Disember depan dan pemohonan baharu tidak akan diterima berkuatkuasa Isnin.
Kerajaan Jerman menawarkan subsidi e-kereta sehingga EUR4,500 (RM22,929) untuk pengguna manakala EUR2,250 (RM11,464) bagi pengeluar kenderaan.
Sabtu lalu, Berlin mengumumkan subsidi tersebut tidak akan diteruskan tahun depan pada kadar yang dikurangkan sebanyak EUR3,000 (RM15,286).
Sebelumnya, pemerintah mengumumkan subsidi berkenaan tidak lagi layak untuk perniagaan dan hanya terhad buat individu persendirian bermula 1 September lalu.
KESAN JUALAN EV
Bagaimanapun, tindakan penamatan awal subsidi EV itu memberi tamparan buat Tesla, Volkswagen, BMW, Stellantis dan pengeluar EV China serta lainnya.
Ini akan memberi kesan kepada jualan yang mana pelanggan akan membatalkan pembelian di saat akhir.
Susulan itu, beberapa pengeluar EV mengambil langkah membiayai kos subsidi tersebut bagi pihak pelanggan mereka.
Misalnya, Elon Musk yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla menyatakan akan membayar pampasan kepada pelanggan yang menempah Model 3 dan Y baharu bagi penghantaran sebelum 31 Disember.
Pada 12 Disember lalu, Tesla menawarkan pembeli 0.99 peratus pinjaman bagi tempahan 18 Disember dan penghantaran kenderaan sebelum 31 Disember. Pelanggan yang membuat pesanan di bawah promosi itu tidak lagi layak mendapatkan subsidi e-kereta.
PENGELUAR EV SERAP KOS
Manakala Nio menyatakan akan membayar pampasan subsidi bagi pembelian antara 18 hingga 31 Disember dan penghantaran sebelum 31 Januari 2024. Ia termasuk model standard dan kereta yang dibeli tanpa bateri di bawah program (BaaS).
“Apabila anda memesan model Nio dengan BaaS (Battery-as-a-Service) sehingga 31 Disember, kami memberikan diskaun sebanyak EUR1,500 (RM7,643.) daripada pengilang dan tambahan EUR3,000 (RM15,286) sebagai pampasan subsidi persekutuan”, katanya menerusi kenyataan media.
Jenama lain yang turut mengambil langkah sama dengan membiayai subsidi tersebut termasuklah Audi, Mercedes-Benz (MBGn.DE), Stellantis dan Volkswagen (VOWG_p.DE).
Audi Volkswagen berkata akan membiayai subsidi penuh untuk kereta yang ditempah sebelum 16 Disember dan dihantar menjelang akhir tahun ini.
Mercedes-Benz pula akan menyediakan subsidi sendiri bermula Januari 2024 dan membiayai kos penghantaran dan pendaftaran kenderaan antara 18 hingga 31 Disember.
Stellantis pada Isnin berkata akan membiayai subsidi penuh sehingga 31 Disember dan selepas itu memberikan pengurangan subsidi untuk kenderaan yang didaftarkan menjelang 29 Februari.
BAJET 2024
Kementerian Ekonomi menghentikan skim tujuh tahun tersebut pada Isnin sebagai sebahagian daripada semakan Bajet 2024 minggu ini.
Ia juga susulan keputusan Mahkamah Perlembagaan yang mengeluarkan EUR 60 bilion (RM305 bilion) daripada bajet negara dan memaksa kerajaan menangguhkan beberapa pelan program untuk mempercepatkan peralihan hijau.
Program subsidi EV itu menyaksikan kerajaan Jerman membayar kira-kira EUR10 bilion (RM51 bilion) sejak 2016.