Kerajaan mengumumkan akan memberi tambang percuma pengangkutan awam kepada orang kurang upaya (OKU) termasuk LRT, Monorel, MRT dan bas di bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu akan mula dilaksanakan pada 1 Februari 2024.
Menurutnya, mereka perlu membuat permohonan untuk mendapatkan pas konsesi khas bagi menggunakan khidmat tersebut secara percuma.
“Kita perlukan sedikit masa untuk menggubah berapa sistem termasuk sistem tiket dalam masa sebulan ini.
“Pas konsesi ini adalah lebih baik daripada sebelum ini yang menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus ke atas penumpang OKU manakala terma dan syarat akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Rapid KL dan Rapid Penang turut menyediakan perkhidmatan van khusus kepada golongan OKU yang dikenali sebagai Rapid Mobility.
Jelasnya, van khas tersebut dilengkapi dengan lif hidraulik bagi memudahkan penumpang berkerusi roda menaiki kenderaan dengan mudah.
“Menerusi perkhidmatan ini penumpang akan dihantar ke destinasi dengan harga yang berpatutan dan pelaksanaan inisiatif ini selari dengan prinsip ihsan dalam konteks Malaysia Madani,” jelasnya.