Sempena perayaan Krismas, Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuhraya pada 23 Disember (Sabtu) dan 26 Disember (Selasa).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pengecualian tol akan diberikan pada semua jenis kenderaan.
“Di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.
“Pemilihan tarikh ini juga bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar,” katanya.
Selain itu, ia juga dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuhraya.
Diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan yang disyorkan.