Hampir 73 peratus rakyat Vietnam menggunakan motosikal sebagai mod pengangkutan sekaligus menjadikannya juara dalam kalangan negara Asia Tenggara.
Data keluaran Seasia yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia itu menyatakan populariti motosikal di Vietnam disumbangkan oleh kos rendah, fleksibiliti dan kecekapan tenaga.
Penggunaan motosikal yang meluas di Vietnam kerana ia mampu milik daripada segi harga jualan dan kos penyelenggaraan.
Saiz motor yang kompak dan mudah dikendalikan juga menjadikannya sesuai untuk pengendalian trafik sesak dan ruang sempit di bandar-bandar Vietnam.
Manakala, Brunei mengikuti di belakang dengan kadar penggunaan motosikal 67.2 peratus. Jumlah itu dijangka berubah berikutan keputusan kerajaan menaikkan cukai motosikal daripada 20 peratus kepada 30 peratus pada Julai tahun ini.
Malaysia melengkapkan tiga teratas dengan kadar penggunaan motosikal sebanyak 45.3 peratus.
Melihat kepada statistik yang lebih luas, laporan 2015 oleh Pew Research Center menunjukkan Vietnam menduduki tempat kedua di Asia Tenggara dari segi peratusan isi rumah menggunakan motosikal (86 peratus) di belakang Thailand (87 peratus).
Negara-negara Asean lain, termasuk Indonesia, Malaysia, dan Filipina berada dalam kalangan 10 negara teratas dengan kadar pemilikan motosikal yang tinggi.
Asia Tenggara ialah hab global untuk pembuatan motosikal, dengan peningkatan tujuh peratus tahun ke tahun dalam jualan, seperti yang dilaporkan oleh Data Motosikal dalam sembilan bulan pertama 2023, yang tertinggi di seluruh dunia.
Perkongsian pasaran terbesar adalah Indonesia diikuti Vietnam, Filipina, Thailand, dan Malaysia.