Gagal ujian memandu dua kali, remaja ditemukan lemah selepas terjun Jambatan Pulau Pinang

352
Gara-gara gagal ujian memandu sebanyak dua kali, seorang remaja perempuan ditemukan lemah dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang, tiga hari lalu.
 

Remaja yang berusia 17 tahun itu ditemukan selamat berhampiran kawasan pelabuhan, Penang Port Sdn Bhd, semalam. 

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Faris Izwan Ahmad Fadzilah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada jam 10.25 pagi.



“Mangsa yang tidak mengalami kecederaan serius diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi tindakan lanjut.

“Kes diserah kepada pihak polis,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat remaja itu dilakukan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Butterworth selepas menerima panggilan pada jam 11.23 pagi, Khamis lalu.

Mangsa dikatakan meninggalkan motosikalnya di KM2.2 menghala ke pulau sebelum bertindak terjun dari jambatan berkenaan.

Sejurus terjun dari jambatan, mangsa dikatakan berenang sebelum tersangkut pada pokok bakau dan berlumpur di berhampiran pelabuhan berkenaan.

Sepanjang tempoh dua hari, mangsa dikatakan beberapa kali melambai ke arah orang awam yang beriadah di kawasan itu namun tidak ada yang perasan.

“Sekitar jam 9 pagi tadi, dia cuba melambai ke arah pegawai operasi bomba pelabuhan itu, sebelum diselamatkan lelaki berkenaan.

“Mangsa dikatakan tertekan kerana tidak lulus ujian memandu sebanyak dua kali dan bimbang dimarahi ibu saudara yang menjaganya.

“Dia kemudian menunggang motosikal ibu saudaranya sebelum berhenti di atas jambatan lalu terjun ke laut,” katanya.

 
 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here