Banjir disebabkan air pasang besar dan hujan lebat yang kerap berlaku setiap kali tiba musim tengkujuh membuatkan empat sekeluarga dari Kampung Duyong Kelab Aya, di Pulau Duyong, Kuala Terengganu sudah lali apabila terpaksa bermalam dalam kereta.
Normatini Ali, 46, berkata pertembungan fenomena alam itu menyebabkan rumahnya yang terletak berhampiran sungai sering dinaiki air secara mendadak hingga ke paras paha pada waktu malam dan akan surut pada keesokan paginya.
Menurutnya, situasi itu akan berlaku dua atau tiga kali dalam setahun hingga menyebabkan dia dan suami, Mohd Asmadi Deraman, 54, bersama dua anak mereka, Muhammad Akashah Aiman, 21, dan Alia Nabila, 13, terpaksa menyelamatkan diri dengan bermalam di dalam kereta Perodua Myvi milik mereka.
“Terbaharu pada malam Isnin lepas apabila berlaku air pasang sekitar 8 malam dan rumah kami dinaiki air dengan cepat, jadi kami pun bergegas masuk dalam kereta dan suami memandu ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sivik Pulau Duyong.
“Waktu itu PPS tersebut belum dibuka kerana kami yang pertama dilanda banjir, jadi kami hanya menunggu di depan PPS dan tidur di dalam kereta hingga ia dibuka keesokan paginya setelah banyak rumah penduduk dinaiki air,” katanya.
Normatini berkata, sepanjang malam itu, mujur tidak banyak nyamuk hingga membolehkan mereka tidur lena walaupun dalam kereta dan apabila keadaan sejuk, suaminya akan mematikan enjin kereta untuk menjimatkan petrol.
Dia berkata, ada masanya mereka sekadar bermalam di dalam kereta dan tidak menghuni di PPS kerana banjir yang melanda waktu malam akan segera surut sekitar waktu Subuh.
Dia juga meletakkan pelbagai barangan keperluan seperti pakaian, tuala, perkakas mandi dan telekung dalam kereta berkenaan yang sudah dianggap seperti rumah kedua.