Minggu lalu, Motoqar berkesempatan ke Baoding, China melihat dengan lebih dekat model pemanduan kanan Haval H6 yang akan dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi.
Menurut GWM Malaysia, SUV yang akan bersaing dengan Proton X70 dan Honda CR-V itu akan dilancarkan sekitar suku ketiga tahun ini. Syarikat akan membawa masuk model Tank 300 terlebih dahulu.
Haval H6 pasaran tempatan akan menerima janakuasa hibrid merangkumi enjin 1.5 liter turbo dengan output 148hp dan tork 230Nm dan motor elektrik dengan kuasa 174hp dan tork 300Nm.
Ini menjadikan output keseluruhan adalah 240hp dan tork 530Nm bersama transmisi DHT.
Antara ciri peralatan yang akan ditawarkan pada model berkenaan adalah rim 19-inci dengan tayar bersaiz 225/55, lampu utama LED jenis matrix, sistem hiburan 12.3-inci dan kluster instrumen digital 10.25-inci, lampu ambien serta bumbung suria.
Haval H6 menggunakan bahasa reka bentuk “Star River Aesthetics”, dengan elemen fascia depan Guardian, lampu depan cahaya bintang dan gril perisai bintang.
Sementara, ciri keselamatan yang ditawarkan termasuklah enam beg udara, kamera 360 darjah, bantuan parkir dan segudang ciri keselamatan termaju (ADAS).
Buat masa ini, harga jualan SUV berkenaan masih belum diketahui yang mana GWM Malaysia akan membawa masuk model import (CBU) dari China.
Haval H6 telah berada di pasaran selama 13 tahun yang mana jualan bulanan melebihi 80,000 unit.
SUV berkenaan tersenarai sebagai top 10 SUV selama lima tahun berturut-turut di peringkat global.
Ia memperoleh kepercayaan lebih 4 juta pelanggan seluruh negara dan dijual ke lebih 70 negara seluruh dunia.