Seorang pemilik Toyota Yaris GR berkongsi perlu mengeluarkan sejumlah CHF35,000 (RM183,233) selepas Toyota menolak tuntutan waranti kos baikpulih enjin yang meletup.
Paul memuatnaik video insiden tersebut ketika pusingan akhir ‘track day’ di akaun Youtube miliknya.
Video itu menunjukkan enjin hot hatch berkenaan meletup selepas keluar dari selekoh sebelum berhenti sepenuhnya di tepi litar.
TOYOTA DAKWA PEMANDUAN TIDAK BERSESUAIAN
Berdasarkan perkongsian di bahagian komen, Paul mendakwa pihak wakil jualan menolak tuntutan waranti tersebut susulan kerosakkan berlaku atas kecuaian pemilik.
Pihak Toyota Switzerland menyatakan kerosakkan akibat penggunaan yang tidak bersesuaian dan bukan seperti yang dicadangkan oleh pengeluar.
“Permintaan kos baikpulih susulan kegagalan enjin Toyota Yaris GR, kami menerima penghantaran kenderaan anda untuk penyelenggaraan pada 11 April 2024.
“Selepas pemerhatian kerosakkan yang berlaku, kami salurkan laporan kepada Perkhidmatan Teknikal Toyota Switzerland.
“Bacaan menyeluruh unit elektronik mendapati kenderaan dipandu pada 173kmj dan enjin terlalu panas hingga 120°C. Selepas pemerhatian, ternyata kerosakan disebabkan penggunaan kenderaan yang tidak sesuai dan bukannya seperti cadangan pengeluar.
“Memandangkan perkara di atas, kami berharap anda memahami Toyota tidak dapat memenuhi permintaan anda. Untuk makluman, setelah menilai anggaran kerosakan, ternyata kos pembaikan jauh melebihi nilai pasaran kenderaan anda,” kongsi Paul kenyataan dari pihak Toyota.
Selain itu, Toyota turut melakukan analisis terhadap keadaan kenderaan, jenis dan tahap kehausan tayar serta pengubahsuaian sebelum memproses tuntutan waranti tersebut.
AKAN BAIK PULIH SENDIRI
Susulan suhu enjin terlalu panas, Paul mengakui tidak memasang penyejuk minyak tambahan.
“Hidup ini terlalu singkat dan saya akan membaiki hot hatch tersebut walaupun merosakkannya terlalu awal.
“Lagipun saya beli kereta itu pada 2,000km dan pengubahsuaian ditunjukkan,” tulisnya menambah telah menggunakan hot hatch berkenaan selama tiga tahun.
Bagaimanapun, dia mempersoalkan tindakan Toyota menolak tuntutan tersebut sedangkan Yaris GR berkenaan sering dihantar untuk penyelenggaraan.
“Pengedar Toyota yang memberi perkhidmatan kepada saya, tahu dengan tepat cara saya gunakan kereta itu, tetapi mereka masih berikan pengesahan jaminan selama setahun lagi, kenapa?,” persoalnya.
Paul turut mengakui hot hatch itu hanya digunakan untuk pemanduan prestasi memandangkan dia memiliki sebuah lagi kenderaan untuk kegunaan harian.
Ini bukanlah pertama kali Toyota menolak tuntutan waranti susulan pemanduan lasak pemilik. Dua tahun lalu, pemilik GR86 tidak dapat menuntut enjin baharu selepas berkongsi aksi ‘drift’ di media sosial.