Kelindan rentung, lori terbakar langgar belakang treler

162

Seorang kelindan rentung apabila lori yang dinaiki terbakar selepas melanggar belakang treler berhampiran bulatan Lebuhraya Lingkaran Utama (LTU) dekat Mempaga, Bentong awal pagi Isnin.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pemandu lori tersebut cedera parah akibat kemalangan. 



Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.44 pagi.

“Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama sebuah jentera pemadam dan EMRS dikerahkan ke tempat kejadian.

“Komander operasi melaporkan berlaku kebakaran lori bonded dan treler setelah berlaku kemalangan iaitu lori tersebut telah melanggar belakang treler yang sedang parkir di tepi jalan,” katanya.

Kemalangan itu telah menyebabkan lori terbakar 100 peratus dan mangsa iaitu seorang lelaki dewasa cedera dan seorang lagi lelaki rentung di dalam lori.

Tambah beliau, treler itu terbakar di bahagian belakang manakala pemandunya selamat.

Jelasnya, pemadaman dilakukan dengan menggunakan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba dan operasi terkawal pada jam 6.03 pagi.

“Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dengan jentera EMRS untuk rawatan lanjut dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here