ProNet bakal lancar Smart #3, ini pandangan pertama kami tentang SUV coupe tersebut…

207

Smart #3 merupakan model kedua di bawah syarikat usahasama antara Geely dan Mercedes-Benz.

Model itu diperkenalkan tahun lalu pada acara Pameran Auto Shanghai selepas Smart #1. Menerusi kritikan terhadap #1, Smart melengkapkan #3 dengan pakej yang menarik.

Bilakah Smart #3 bakal lancar di Malaysia?, mungkin sekitar hujung bulan ini. Motoqar berpeluang mencuba SUV coupe itu pada sesi pandu uji ringkas di Litar Proton Shah Alam, baru-baru ini. 



INFO RINGKAS

Smart #3 menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang turut digunakan pada model Volvo EX30 dan Zeekr X.

Seperti mana #1, model terbaharu ini bakal didatangkan dengan tiga pilihan varian iaitu Pro, Premium dan Brabus. 

Sekali pandang #3 identikal dengan #1 menerusi bar lampu yang sama di depan dan belakang, begitu juga bentuk gril. Cuma model tersebut lebih rendah, lebar dan panjang berbanding #1. 

Selain itu, ia menawarkan perbatuan lebih jauh berbanding #1 iaitu sekitar 455km.

Anda mungkin mengandaikan garisan bumbung yang rendah bakal memberi kesan kepada ruang kepala. Tetapi, kedudukan kerusi #3 yang rendah bagi menawarkan pemanduan sporty turut memberi kelebihan pada ruang kaki dan kepala terutamanya. 

Penumpang yang tinggi masih boleh duduk selesa dengan tawaran ruang kaki dan kepala yang tersisa di belakang serta kedudukan penyandar yang ergonomik (tidak terlalu menegak). 

PANDU UJI RINGKAS

Media automotif berpeluang menguji kecekapan pengendalian #3 menerusi seksyen ujian yang disediakan ProNet. 

Misalnya seksyen pusingan ‘8’ memberi peluang pemandu menguji kelebihan radius pusingan #3. Pusingan stereng 5.5 meter merupakan bonus terutamanya melalui lorong sempit atau membuat pusingan ‘U’ di kawasan bandar. 

Ini merupakan kelebihan juga buat golongan wanita yang tidak begitu pakar dalam ‘mengagak’ saiz kenderaan dan laluan yang dilalui selain meletakkan kenderaan.

Seperti mana #1, Smart #3 turut didatangkan dengan tiga mod pemanduan Eco, Comfort dan Sport. Walaupun tidak begitu memberi kesan kepada pengalaman pemanduan, namun dengan tawaran mod stereng Sport meningkatkan keyakinan ketika melalui selekoh. 

Stereng lebih berat yang bergerak seiring input pemandu memberikan pengalaman pemanduan sporty dan meyakinkan ketika pecutan tinggi mahupun masuk dan keluar dari selekoh. 

Pengalaman pemanduan lebih sporty mula dirasai sebaik berpindah kepada versi Brabus. Berpaksikan pengendalian sporty, respons pendikit yang pantas dan melaju dengan cepat adalah kelebihan #3 Brabus.

Ini diterjemahkan menerusi pecutan 0-100kmj Smart #3 Brabus yang dicapai dalam tempoh 3.7 saat.

Pemanduan Brabus lebih tajam ketika di selekoh serta berat dan ketepatan stereng memberi keyakinan kepada pemandu untuk memposisikan kenderaan. Olengan badan juga minimum. 

Breknya pula bertindak seperti suis, sama ada dihidupkan atau dimatikan. Ia mempunyai kuasa henti yang baik, tetapi sedikit daripada segi rasa. Cuma bunyi palsu V8 Brabus agak menjengkelkan jika anda duduk di belakang. 

Untuk mengetahui lebih terperinci tentang SUV coupe ini nantikan hari pelancaran. Buat masa ini segala informasi tentang #3 disimpan rapi.

Ia dilengkapi dengan pengecasan AC 22kW (10-80 peratus dalam tempoh 3 jam) dan pengecasan DC 150 kW. 

Belum ada maklumat mengenai harga, tetapi #3 akan lebih mahal sedikit daripada #1 yang berharga RM189,000 bagi Pro, RM219,000 (Premium) dan RM249,000 (Brabus dwi-motor).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here