Rekod pendaftaran kenderaan minggu ke-19 (6-12 Mei) 2024 menyaksikan peningkatan jualan pasaran EV di China, kecuali Tesla dan Xiaomi.
Jualan BYD naik kira-kira 30 peratus dan Nio ( naik 20 peratus) manakala Tesla dan Xiaomi masing-masing turun sebanyak 10 peratus dan 15 peratus, menandakan minggu ketiga tanpa kenaikan.
Mengekalkan takhta, BYD di tempat pertama dengan pendaftaran 68,500 kenderaan, meningkat 30.23 peratus daripada 52,600 kenderaan minggu sebelumnya. Pada separuh pertama bulan Mei (1-12hb) BYD mendaftarkan 101,300 kenderaan di China.
Nio pula merekodkan jualan 4,400 kenderaan, meningkat 22.22 peratus daripada 3,600 kenderaan minggu sebelumnya.
Pada separuh pertama Mei, Nio mendaftarkan 5,600 kenderaan di China. SUV Nio ES6 dan Nio ET5 + menyumbang sebanyak 75 peratus daripada jualan keseluruhan.
Pecahan jualan Nio:
- Nio ES6: 1,800 unit
- Nio ET5/ET5T: 1,500 unit
- Nio EC6: 700 unit
- Selebihnya (ES8+ET7+EC7+ES7): 400 unit
PENDAFTARAN TESLA & XIAOMI MENURUN TIGA MINGGU BERTURUTAN
Manakala, Tesla mendaftarkan 9,800 kenderaan, turun 10.91 peratus daripada 11,000 kenderaan minggu sebelumnya. Pada separuh pertama Mei, Tesla mendaftarkan 11,690 kenderaan di China.
Pecahan jualan Tesla:
- Model Y: 8,500 unit
- Model 3: 1,300 unit
Xiaomi pula mendaftarkan 1,100 kenderaan, turun 15.38 peratus daripada 1,300 kenderaan minggu sebelumnya. Pada separuh pertama Mei, Xiaomi mendaftarkan 2,000 kenderaan di China.
Ini adalah minggu ketiga Xiaomi tanpa kenaikan. Pada minggu ke-16 iaitu pertengahan April lalu, Xiaomi mendaftarkan 1,700 kenderaan dan sejak itu pendaftaran kenderaannya adalah 1,700 unit, 1,300 unit, dan minggu lalu hanya 1,100 unit.
Xiaomi dilaporkan menerima lebih 100,000 tempahan Xiaomi SU7. Pengasas Xiaomi, Lei Jun berkata syarikat merancang untuk menghantar keseluruhan tempahan menjelang akhir tahun ini.
Rekod pendaftaran yang rendah mungkin menunjukkan peningkatan pengeluaran di kilang baharunya di Beijing sedang mengalami masalah. Kilang itu dikendalikan oleh BAIC Off-road Vehicle Co., anak syarikat Beijing Auto milik kerajaan dan pengeluar kontrak Xiaomi SU7.