
Tiada perancangan untuk mewajibkan pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) bagi semua kenderaan di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata walaupun kementerian ada menerima beberapa cadangan mengenainya, pihaknya perlu mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk kos yang perlu ditanggung rakyat sekiranya ia diwajibkan.
“Akan tetapi, kita menggalakkan pemasangan dashcam terutama pada kenderaan-kenderaan daripada pengilang.
“Kalau mereka boleh pasang (dashcam) bersekali dengan kereta baharu, itu amat kita galakkan tetapi setakat ini kita belum mewajibkan lagi,” katanya
Selain itu, Loke turut menggalakkan syarikat pengusaha bas untuk memasang peranti tersebut agar dapat merakam dan dijadikan bahan bukti sekiranya terlibat kemalangan jalan raya.
“Pemasangan dashcam ini satu bukti sekiranya berlaku kemalangan untuk mengetahui siapa yang bersalah atau yang patut bertanggungjawab,” katanya.