Kia EV6 facelift tampil dengan wajah baharu, bateri lebih besar

145

Sedar tak sedar, sudah tiga tahun Kia EV6 berada dalam pasaran. Sambutan yang diberikan tidak kurang hebat dengan lebih 210,000 unit terjual di peringkat global dalam tempoh tersebut.

Bagi memastikan kekal relevan untuk beberapa tahun yang akan datang, EV6 menerima pembaharuan menerusi penampilan lebih bergaya dan perbatuan lebih jauh. 



Masih menggunakan platform E-GMP, bahagian depan EV6 kini kelihatan lebih agresif dengan adanya lampu utama rekaan baharu dan lampu nyala siang (DRL) Star Map seperti yang terdapat pada EV5 dan EV9.

Selain itu, bampar depan dan belakang turut direka semula, manakala rim didatangkan dalam saiz 19 dan 20 inci. Bentuk lampu belakang dikekalkan namun kini lebih menonjol dengan adanya grafik Star Map.

Di dalam, masih terdapat paparan berkembar berukuran 12.3 inci setiap satu namun  dikemas kini dengan perisian dan grafik baharu. Ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto pula kini tanpa wayar.

Konsol tengah pula didatangkan dengan sistem pengesahan cap jari bagi membolehkan pemandu menghidupkan kereta dan mengakses profil individu. Pad pengecas tanpa wayar pula direka semula bagi mengelakkan telefon bergerak semasa dicas.

Bentuk stereng juga baharu dengan bahagian atas dan bawah yang rata, dan sensor kapasitif bagi mengesan tangan pemandu.

Selain itu, Kia turut menyertakan beberapa ciri terkini seperti kemas kini perisian Over-the-Air (OTA), paparan head-up, kamera papan pemuka dan cermin pandang belakang digital.

Keselesaan penumpang turut diambil kira dengan menala semula sistem suspensi, serta menambah lebih banyak bahan penebat bunyi di sekitar motor elektrik belakang. Sistem keselamatan turut dipertingkatkan dengan 10 beg udara.

Namun apa yang lebih penting, EV6 facelift dilengkapi dengan bateri berkapasiti lebih besar iaitu 84 kWj berbanding 77.4 kWj sebelumnya. 

Bateri yang lebih besar itu memberikan EV6 jarak pandu yang lebih jauh, iaitu 494 km untuk varian Long Range Rear-Wheel Drive.

Walaupun dengan kapasiti lebih tinggi, masa yang diperlukan untuk mengecas dari 10 hingga 80 peratus masih pendek iaitu 18 minit menggunakan pengecas pantas DC 350kW.

Konfigurasi motor elektrik masih sama seperti sebelum ini. Varian Rear-Wheel Drive didatangkan dengan motor elektrik tungal yang menjana 229 PS dan 350 Nm, manakala varian All-Wheel Drive dengan dua motor elektrik mempunyai 325 PS dan 605 Nm.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here