Toyota dalam satu temu bual eksklusif bersama Reuters, baru-baru ini mengesahkan trak pikap elektrik Hilux Revo BEV akan memasuki barisan pengeluaran di Thailand pada akhir 2025.
Buat masa ini, Toyota masih belum mendedahkan perincian lanjut berkenaan spesifikasi, prestasi, angka produksi serta harga jualan trak elektrik tersebut.
“Adakah ia akan memenuhi keperluan pelanggan sentiasa menjadi isu terbesar kami.
“Semakin jauh jarak gerak, semakin besar kapasiti bateri yang perlu dimuatkan, dan ini bermakna kenderaan akan menjadi semakin berat, had muatan akan menjadi lebih kecil,” kata Naib Presiden Eksekutif Toyota Motor Asia, Pras Ganesh.
Model prototaip trak pikap tersebut didedahkan secara rasmi pada akhir 2022 menerusi Hilux kabin tunggal, sistem pacuan 4X2, saiz bed belakang yang panjang dan dikatakan mampu bergerak sejauh 200km bagi pengecasan penuh.
Kemunculan Hilux BEV bakal bersaing dengan trak pikap berkuasa elektrik yang bakal lancar tahun depan dan dipasang di Thailand, iaitu Isuzu D-Max BEV.
Dipertontonkan beberapa bulan lalu, Isuzu D-Max BEV didatangkan dengan dua motor elektrik, setiap satu berkuasa 54PS/108Nm untuk gandar depan dan output 122PS/217Nm (gandar belakang).
Secara keseluruhan, Isuzu D-Max BEV menghasilkan kuasa setinggi 177PS dan tork 325Nm, dibantu dengan pek bateri berkapasiti 66.9kWh dan sistem pacuan empat roda sepenuh masa.
Menurut Isuzu, trak pikap itu mampu menunda muatan seberat 3.5 tan, selain berkeupayaan membawa barangan seberat 1,000 kg.