Honda hasilkan trak konsep sel bahan api hidrogen

149

Nampaknya Honda terus mengorak langkah ke hadapan dalam bidang pembangunan sel bahan api hidrogen.

Selepas melancarkan CR-V e:FCEV pada Februari lalu, syarikat itu mengumumkan ia akan mempertontonkan sebuah trak kelas 8 berkuasakan sel bahan api hidrogen di Advanced Clean Transportation (ACT) Expo di Las Vegas minggu ini.



Trak berkenaan masih dalam peringkat konsep namun ia akan menjadi titik permulaan kepada projek demonstrasi baharu yang disasarkan untuk pengeluaran produk sel bahan api untuk pasaran Amerika Utara pada masa hadapan.

Ia dikuasakan oleh tiga sistem sel bahan api (FC) yang dibangunkan dan dikeluarkan secara besar-besaran dengan kerjasama General Motors di Brownston, Michigan.

Menurut Honda, sistem FC berupaya meningkatkan prestasi dan menggandakan ketahanan sambil mengurangkan kos sebanyak dua pertiga berbanding sistem generasi sebelumnya.

Setiap satu sistem tersebut mampu menghasilkan 80 kW (107 hp), bermakna dengan tiga sistem trak itu mempunyai kuasa keseluruhan sebanyak 240 kW (322 hp).

Dari segi prestasi, trak sepanjang lapan meter itu dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 113 km/j. Penggunaan bateri voltan tinggi berkapasiti 120 kWj pula membolehkan ia mencapai perbatuan sejauh 644 km sebelum perlu diisi semula.

Angka-angka ini mungkin kedengaran biasa-biasa sahaja namun perlu diingat bahawa trak itu mempunyai berat keseluruhan melebihi 37,000 kg!

Dengan trak konsep ini, Honda berhasrat untuk mencari kerjasama perniagaan baharu bagi mengembangkan perniagaan hidrogennya, seterusnya mencapai neutraliti karbon untuk semua produk dan aktiviti korporat menjelang 2050.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here