Peugeot, satu jenama daripada Stellantis memperkenalkan Peugeot Landtrek Allure dan Landtrek Special Edition (SE) pemasangan tempatan pada acara Malaysia Autoshow 2024.
Kini hadir dengan rangkaian aksesori baharu dan sistem suspensi yang dinaik taraf untuk pengendalian sporty, P Peugeot Landtrek SE direka untuk memberikan pemanduan yang lebih mengujakan. Pada masa sama mengekalkan nilai jenama Peugeot iaitu Allure (tarikan), Emotion (emosi) dan Excellence (kecemerlangan).
Peugeot Landtrek SE menggabungkan DNA lagendari Peugeot pada rekaan dalaman dan luaran untuk membuatkan setiap perjalanan lebih menyenangkan.
Sama ada untuk pergi berkhemah, ekspedisi mendaki gunung atau menyusuri jalan dengan pemandangan indah, PEUGEOT LANDTREK SE memberikan warga kota kebebasan serta fleksibiliti untuk menikmati aktiviti riadah di luar rumah, pada masa sama mengekalkan sofistikasi urban mereka.
Jentera itu menawarkan gabungan ideal di antara ciri-ciri dan keupayaan mengharung apa jua permukaan jalan seperti sebuah SUV yang dipadankan bersama ketahanan sebuah trak pikap untuk mengharung laluan sukar serta jalan di bandar.
Kemas dan Tahan Lasak
Varian SE baharu menyerlahkan lagi elemen dan gaya singa (feline) dengan rangkaian aksesori baharu. Antara ciri menarik termasuklah peredam pintu belakang, pelekat Landtrek hitam pada bahagian tepi badan dan arca roda hitam yang agresif.
Siluet sisi dipertingkatkan lagi dengan Peugeot Tag Bezels berwarna hitam, visor pintu dan pemijak sisi juga berwarna hitam untuk memudahkan urusan masuk serta keluar.
Bahagian hadapan diserlahkan dengan bingkai gril krom bersama sepasang lampu nyalaan siang LED yang berbentuk taring singa dan diposisikan secara menegak.
Lampu utama LED sepenuhnya dipadankan dengan rekaan bampar hadapan yang garang, bersama sepasang lampu kabus dan skid plate. Semua ini direka untuk melengkapkan gaya PEUGEOT LANDTREK yang nyata menonjol.
Rim aloi bersaiz 18 inci itu dibalut dengan tayar jenis all-terrain (A/T) bersama kemasan potongan berlian.
Ruang Kargo Luas
Tarikan sebenar pada Peugeot Landtrek SE terletak pada ruang kargo yang luas iaitu sepanjang 1,630 milimeter dan selebar 1,600mm. Saiz ini membolehkannya membawa sehingga 2 palet saiz Eropah atau mengangkut beban seberat satu tan.
Warna dan Reka Bentuk Menawan
Peugeot Landtrek SE didatangkan dalam dua warna iaitu:
- Kelabu (Rockstone Grey)
- Putih (Ceramic White)
Prestasi Terbaik
Peugeot Landtrek SE menggunakan enjin 1.9-liter Turbo Diesel yang mampu menghasilkan kuasa 150hp pada 4,000rpm dan tork 350Nm di antara 1,800-2,800rpm. Dilengkapi transmisi automatik PUNCH 6-kelajuan. Ia juga mempunyai kapasiti menunda sehingga 3 tan.
Pakar di Laluan Sukar
Talaan sistem suspensi yang telah dinaik taraf pada Peugeot Landtrek SE merangkumi suspensi dan peredam baharu. Apabila differential lock belakang Eaton diaktifkan dalam mode 4WD, ia mampu melalui apa jua halangan di hadapannya. Sudut mendekat 29°, sudut bergerak 27° serta sudut keluar 25° bersama jarak kelegaan tanah setinggi 235mm membolehkannya mengharungi laluan tidak rata dengan mudah.
Kapasiti mencerun PEUGEOT LANDTREK SE adalah pada sudut 42° dan mampu mencapai tahap menaik sehingga 90% apabila berada dalam mode 4×4.
Tuil rotari mode pemanduan yang versatil itu membolehkan pemandu untuk menukar di antara 2-Wheel Drive Rear (2H), 4-Wheel Drive (4H) atau Four-Wheel Drive LOW (4L) dengan mudah. Mode 4L tersebut direka untuk mengharung laluan mencabar seperti menaiki atau menuruni jalan yang curam.
Aspek Ketersambungan & Praktikaliti yang Mengagumkan
PEUGEOT LANDTREK SE menampilkan ruang dalaman PEUGEOT yang inovatif. Rekaan papan pemuka yang kemas diintegrasikan dengan ciri-cici ketersambungan termaju. Ia merangkumi sistem infohibur bersaiz 10-inci, tiga port USB, teknologi Bluetooth serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Dilengkapi kamera 360° dengan pemandangan 3D untuk urusan menukar haluan yang optimum, PEUGEOT LANDTREK SE direka untuk boleh mengadaptasi laluan di bandar dan off-road dengan mudah.
Ciri baharu Tire Precision Cameras menawarkan pelbagai ciri untuk memudahkan pergerakan pada kelajuan rendah. Diaktifkan secara automatik untuk memberi amaran kepada pemandu apabila mengesan objek di sekelilingnya, kamera itu boleh mengesan halangan seperti sisi jalan, bonggol jalan dan lubang bagi membolehkan anda memandu dengan lebih selamat.
Tiada Kompromi Dengan Aspek Keselesaan
Pemandu dan penumpang hadapan boleh duduk dengan selesa serta bergaya di atas kerusi berkuasa yang dibalut kulit. Dengan lebar 1,328mm, tempat duduk belakang direka untuk menempatkan sehingga tiga orang dewasa dengan selesa. Ruang penyimpanan barang di dalam ruang kabin juga cukup luas dengan 27 liter untuk kegunaan penumpang hadapan dan belakang.
Sistem Keselamatan Mengagumkan
PEUGEOT LANDTREK SE dilengkapi sistem keselamatan berikut untuk memberi perlindungan kepada pemandu dalam apa jua perjalanan:
- 6 Beg Udara: Pemandu, penumpang hadapan, sisi dan jenis Curtain.
- Poin ISOFIX
- Dynamic Stability Control (DSC)
- Anti-Skid Regulation (ASR)
- Electronic Brake-Force Distribution (EBD)
- Electronic Stability Program (ESP)
- Trailer Swing Control: Direka untuk mengesan, mengawal pergerakan treler dan masalah bergoyang ketika menunda.
- Hill Start Assist: Berfungsi menghalang kenderaan daripada mengundur apabila pedal brek dilepaskan
- Hill Descent Control: Berfungsi mengaktifkan brek secara automatik untuk mengawal kelajuan ketika menuruni bukit
- Lane Departure Warning System
- Kamera 360° diintegrasikan dengan pandangan 3D, jarak parkir dan panduan kelebaran ruang parkir
Harga
PEUGEOT LANDTREK SE ditawarkan pada harga RM129,124 sementara PEUGEOT LANDTREK Allure pula berharga RM124,124. Kedua-duanya hadir dengan jaminan selama 3 tahun dan perbatuan sejauh 100,000km, mana-mana tiba dahulu.