Neta Auto Malaysia baru sahaja melancarkan SUV elektrik baharu untuk pasaran tempatan di Malaysia Autoshow 2024, iaitu Neta X.
Untuk pasaran Malaysia, Neta X ditawarkan dalam tiga varian utama, iaitu 400 Comfort, 400 Luxury, dan 500 Luxury.
Kesemua varian dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 163 PS dan 210 Nm, namun dengan dua pilihan pek bateri (52.49 kWh atau 64.14 kWh) yang masing-masing mampu menawarkan jarak gerak sejauh 401 km (varian 400 Comfort, 400 Luxury) dan 480 km (varian 500 Comfort, 500 Luxury).
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 9.5 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 150 km/j.
Dari segi pengecasan, Neta X menyokong sistem AC 6.6 kW di mana bateri boleh dicas 0-100% dalam masa sembilan jam, serta pengecasan pantas DC (30-80% dalam 30 minit).
Untuk ruang kabin, barangan standard termasuklah skrin tengah bersaiz 15.6 inci, skrin kluster digital, sambungan Apple CarPlay, bumbung kaca panorama, dan sistem audio lapan pembesar suara.
Neta X berukuran 4,619 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,628 mm tinggi, diikuti jarak antara roda sepanjang 2,770 mm.
Pencabar kepada BYD Atto 3 ini dijual bermula dari RM119,900 untuk versi standard, hingga RM139,900 untuk varian yang paling tinggi.