Jaecoo J6, J7 PHEV buat kemunculan di Malaysia Autoshow 2024

235

Jaecoo mempertontonkan dua model SUV menarik iaitu J6 dan J7 PHEV pada acara Malaysia Autoshow 2024, sekali gus memberi bayangan mengenai perancangannya untuk pasaran Malaysia pada masa akan datang.

Jaecoo J6



J6 merupakan model SUV off-road dengan trenkuasa elektrik sepenuhnya. Jaecoo sebelum ini mengesahkan yang ia akan dilancarkan di Malaysia namun tidak mendedahkan spesifikasinya.

Terdapat kemungkinan yang ia akan menampilkan konfigurasi trenkuasa yang sama dengan ‘kembarnya’ di China iaitu iCar 03. Di negara itu, 03 ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang (RWD) dan pacuan semua roda (AWD).

Versi AWD yang dipacu dua motor elektrik mempunyai kuasa sebanyak 279 PS, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.5 saat. Bateri 69.8 kWj memberikannya jarak pandu sejauh 501 km mengikut kitaran CLTC.

Sekali imbas, rekaan luaran J6 jelas diinspirasikan dari Land Rover Defender dengan bentuk badan berkotak, dapra yang lebar serta kemasan plastik hitam pada bahagian bawah badan.

Namun ukuran dimensinya jauh lebih kecil iaitu 4,406 mm panjang, 1,910 mm lebar, 1,715 mm tinggi, dan wheelbase 2,715 mm.

Ruang dalamannya pula kelihatan premium dengan skema warna dua tona dan pelbagai kelengkapan terkini seperti skrin sentuh sistem infotainment yang besar, paparan instrumen digital dan pengecas tanpa wayar.

Jaecoo J7 PHEV

Secara asasnya, J7 PHEV adalah versi plug-in hybrid bagi J7 AWD yang akan dilancarkan di sini pada suku kedua tahun ini.

Rekaannya tidak ubah seperti J7 AWD namun tidak seperti model itu, ia dikuasakan oleh enjin turbo 1.5 liter yang digandingkan dengan sebuah motor elektrik pada gandar hadapan.

Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 347 hp dan 525 Nm, yang dihantar terus ke roda oleh transmisi yang digelar sebagai Dedicated Hybrid Transmission (DHT).

Menurut Jaecoo, J7 PHEV mampu mencapai kadar penggunaan bahan api serendah 20.4 km/l dan baterinya pula membolehkan SUV ini dipandu sejauh 88 km dengan kuasa elektrik sahaja.

Selain fungsi pengecas pantas DC, model ini juga mempunyai ciri Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan pengguna mengecas peralatan elektrik semasa menjalankan aktiviti riadah dan sebagainya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here