Gaun Lady Gaga ini diperbuat daripada bampar E-Class W212

339

Bintang pop Lady Gaga cukup terkenal dengan fesyen pelik dan luar biasa. Contohnya, pada acara MTV Video Music Awards 2010, dia membuat kejutan dengan mengenakan gaun yang diperbuat daripada daging lembu mentah.

Dalam satu acara karpet merah baru-baru ini, Gaga sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila menggayakan busana yang diperbuat daripada bampar sebuah Mercedes-Benz.

Lebih spesifik lagi, ia merupakan bampar hadapan yang diambil dari E-Class coupe atau convertible model tahun 2014-2016, atau lebih dikenali dengan kod nama W212 versi facelift.



Bampar berkenaan telah diubah suai, dilipat dan ditambah lubang lengan bagi membolehkan ia dipakai oleh penyanyi itu. Gaya eksentrik itu dilengkapkan lagi bersama gaun panjang dan kasut tumit tinggi berwarna putih.

Busana unik ini merupakan rekaan studio fesyen berpangkalan di Berlin iaitu SELVA, yang diketuai oleh Selva Huygens. Ia merupakan sebahagian daripada koleksi “Brutalist Functional Art Movement” yang menggunakan pelbagai jenis bahan terbuang dan kitar semula termasuk bahagian kereta.

Ia digayakan oleh Gaga semasa acara tayangan perdana filem Chromatica Ball yang diadakan di Los Angeles baru-baru ini. Ketika ditanya mengenai bahagian mana yang digunakan untuk menghasilkan busana itu, Gaga menjawab: “Saya tidak tahu, saya bukannya seorang mekanik.”

Gaga mungkin tidak begitu arif mengenai kereta namun penyanyi itu dikatakan mempunyai koleksi yang tidak kurang hebatnya. Malah, dia juga pernah memiliki sebuah E350 W212 tetapi versi sedan.

Selain itu, dia juga mempunyai Ford F-150 Lightning, Ford Bronco, Lincoln Continental era 60an dengan pintu suicide, Chevrolet Nova SS, Chevrolet El Camino serta beberapa buah Rolls-Royce Phantom dan supercar seperti Audi R8 dan Lamborghini Huracan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here