Hud enjin tercabut, Lamborghini umum kempen recall libatkan 2,133 Urus

202

Lamborghini mengumumkan kempen panggil semula melibatkan 2,133 unit SUV Urus Performante dan Urus S model tahun 2023-2024 akibat risiko hud enjin yang mudah tercabut pada kelajuan tinggi. 

Masalah tersebut dikatakan berpunca daripada stud rivet yang digunakan untuk bahagian selak hud mungkin berubah bentuk disebabkan oleh proses pengeluaran yang tidak konsisten di tempat pembekal.

Aliran udara pantas yang terbentuk pada kelajuan melebihi 94 batu sejam (151 km/j) akan menghasilkan satu jurang kecil antara hud dan bampar hadapan di mana peningkatan aliran udara boleh menyebabkan mekanisme selak mengalami tekanan yang berlebihan.



Dalam keadaan ini hud enjin boleh terbuka, merosakkan cermin hadapan dan menghadang penglihatan pemandu.

Struktur hud juga mungkin tercabut sepenuhnya daripada kenderaan dan keadaan ini akan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Masalah ini mula dikesan pada Ogos yang lalu, di mana Lamborghini telah menerima dua tuntutan waranti di Eropah berhubung isu hud dan fender yang tidak selari.

Kemudian pada bulan Februari yang lepas, sebuah Lamborghini Urus di Indonesia mengalami masalah di mana hud enjin tercabut sepenuhnya pada kelajuan yang tinggi.

Satu siasatan terperinci telah dijalankan dan mendapati masalah tersebut berpunca daripada stud rivet selak yang rosak.

Kesemua pemilik akan dihubungi oleh Lamborghini pada lewat Jun dan awal Julai, di mana mereka akan diminta untuk menghantar SUV masing-masing ke pengedar untuk pemeriksaan lanjut, serta menggantikan komponen yang bermasalah.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here