Audi sambut ulang tahun ke-25 RS4 Avant dengan model edisi terhad

187

Bagi menyambut ulang tahun RS4 yang ke-25, Audi menawarkan model istimewa yang dikenali sebagai RS4 Avant Edition 25 Years yang mempunyai enjin lebih berkuasa dan casis yang dipertingkatkan.

Menurut syarikat itu, model berkenaan ditawarkan dalam jumlah yang terhad iaitu 250 unit sahaja dan semuanya untuk pasaran Eropah.



Model Edition 25 Years didatangkan dalam warna Imola Yellow yang diinspirasikan dari warna RS4 yang asal, namun pelanggan juga boleh memilih dua warna lain iaitu Nardo Gray dan Mythos Black.

Menjadikan ia lebih unik adalah kemasan hitam berkilat pada tingkap, lampu depan dan belakang, serta logo Audi. Turut disertakan adalah ukiran “RS4 Edition 25 Years” pada tingkap sisi belakang.

Tidak cukup dengan itu, penampilan jentera ini diserikan lagi dengan pakej Carbon Matte yang menyaksikan bilah hadapan dan sisi, cermin sisi dan diffuser dihiasi dalam kemasan karbon.

Ruang kabin turut mengambil inspirasi dari RS4 yang asal dengan jahitan berwarna kuning dan gabungan upholsteri kulit, Dinamica dan Alcantara berwarna hitam pada kerusi bucket RS.

Apa yang menarik, tachometer dan speedometer pada kluster instrumen digital kini mempunyai pilihan latar belakang berwarna putih sebagai tribut kepada RS2 Avant tahun 1994.

Untuk penampilan lebih eksklusif, terdapat nombor siri pengeluaran pada konsol tengah serta pilihan stereng flat bottom yang dibalut suede pada harga 2,270 euro (RM11,270). Namun pelanggan disyorkan untuk memakai sarung tangan ketika menggunakannya.

Di bawah bonet, enjin 2.9 liter twin-turbo V6 kini menghasilkan 470 PS dan 600 Nm, peningkatan sebanyak 20 PS jika dibandingkan dengan model standard. 

Talaan perisian transmisi memberikan penukaran gear yang lebih pantas, membolehkan RS4 ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.7 saat (kurang 0.4 saat berbanding RS4 Avant standard) dan mencapai kelajuan maksimum 300 km/j.

Di samping kuasa yang lebih tinggi, RS4 Avant Edition 25 Years dilengkapi dengan sistem suspensi sport dengan pelarasan manual yang boleh mengurangkan ketinggian kenderaan sehingga 20 mm.

Bukan itu sahaja, Audi turut menaikkan camber negatif sebanyak dua darjah dan memasang control arm yang lebih keras dan subframe belakang untuk mendapatkan lebih cengkaman serta pengendalian yang lebih responsif.

Prestasi jentera ini dipertingkatkan lagi menerusi penggunaan differential Torsen dan rim aloi 20 inci yang dibalut tayar Pirelli P Zero Corsa.

RS4 Avant Edition 25 Years boleh ditempah mulai Jun depan dengan harga 142,905 euro (RM726,072).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here