Harga model skala McLaren Senna Sempre ini sama dengan Honda City Hatchback RS!

52

Pakar model skala premium dari UK iaitu Amalgam Collection telah memperkenalkan penawaran terbaru mereka iaitu McLaren Senna Sempre.

Replika berskala 1:8 itu direka mengikut model edisi terhad Senna Sempre yang diperkenalkan pada 21 Mei lalu sebagai memperingati ulang tahun ke-30 pemergian Ayrton Senna.



Seperti rekaan-rekaannya yang terdahulu, model skala Senna Sempre ini tidak ubah seperti jentera yang sebenar. Segala perincian dihasilkan semula dengan begitu teliti, termasuk imej dot matrix wajah Senna pada bahagian kiri dan kanan.

Bukan itu sahaja, petikan kata-kata Ayrton Senna yang cukup popular iaitu “I have no idols. I admire work, dedication and competence” pada panel pintu turut disertakan.

Malah, anda juga boleh melihat lubang-lubang kecil pada brek cakera yang tersembunyi di sebalik rim. Model skala ini mempunyai ukuran panjang 53 cm dan kedua-dua pintu dan penutup enjinnya juga boleh dibuka. 

Menurut syarikat itu, mereka mengambil masa lebih 3,000 jam untuk membangunkan model skala Senna Sempre menggunakan data lukisan terbantu komputer (CAD) yang diperoleh dari McLaren.

Setiap unit memerlukan kira-kira 300 jam untuk dipasang dengan tangan. Oleh itu tidak hairanlah hanya 30 unit akan dihasilkan, dengan setiap satu dijual pada harga $21,385 (RM100,260). Di Malaysia, anda boleh beli sebuah Honda City Hatchback RS facelift pada harga yang hampir sama.

Unit pertama telah diserahkan kepada McLaren dan dipamerkan pada perlumbaan Grand Prix Monaco baru-baru ini, manakala unit terakhir akan diberikan kepada ahli keluarga pelumba lagenda itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here