Geneva Motor Show akhirnya berkubur selepas 109 tahun

1125

Diadakan buat pertama kali pada 1905, Geneva Motor Show pernah menjadi pentas kemunculan kereta-kereta yang ikonik seperti Jaguar E-Type, Audi Quattro dan Porsche 917.

Pameran automotif terkemuka itu juga pernah menyaksikan kemunculan kereta konsep Lamborghini Countach LP500, sementara Ferrari pernah mempertontonkan LaFerrari di situ hampir sedekad lalu.

Namun, semuanya bakal menjadi kenangan dalam lipatan sejarah kerana pihak penganjur Geneva Motor Show telah pun mengumumkan yang pameran itu tidak lagi akan diadakan selepas ini disebabkan oleh “cabaran dan persaingan industri yang berterusan.”



Keputusan ini sebenarnya sudah boleh dijangka sejak kemunculan pandemik COVID-19 yang menyaksikan pameran itu dibatalkan selama empat tahun berturut-turut dari 2020 hingga 2023.

Bagi mereka yang tidak tahu, Geneva Motor Show membuat kemunculan semula pada awal tahun ini namun hanya berjaya menarik satu pengeluar dari Eropah iaitu Renault, bersama-sama dengan beberapa pengeluar lain dari China.

Malah, pameran tersebut menerima hanya 168,000 pengunjung, lebih rendah berbanding sasaran awal iaitu 200,000 pengunjung.

Walau bagaimanapun, legasi Geneva Motor Show akan diteruskan menerusi acara yang menggunakan nama yang sama namun di lokasi berlainan iaitu Qatar.

Berikutan sambutan yang amat menggalakkan pada tahun lalu, penganjur mengesahkan yang mereka akan mengadakan acara seterusnya pada November 2025.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here