Syarikat pengeluar automotif Perancis, Renault dalam satu kenyataan mengesahkan projek pembangunan kenderaan elektrik mampu milik, Twingo EV akan diteruskan menerusi kerjasama dengan rakan teknikal baharu dari China.
Berita tersebut timbul setelah CEO Renault mengesahkan pihaknya akan mencari cara untuk membangunkan generasi baharu EV setelah perbincangan dengan Volkswagen tidak membuahkan sebarang hasil.
Menurut laporan AutoNews, fasa pembangunan EV baharu itu akan dibuat sepenuhnya di China, kecuali proses penggayaan dan kejuruteraan termaju yang akan mengambil tempat di Perancis yang diketuai oleh divisyen EV Renault, Ampere.
Tambah laporan itu lagi, Renault kini sedang mencari jalan untuk mengurangkan kos pembangunan dan dalam masa yang sama mahu mengekalkan harga jualan di bawah julat €20,000 (RM102,198).
Langkah serampang dua mata itu juga membolehkan Renault mempelajari dan menguasai teknik yang digunakan oleh syarikat automotif China untuk kekal relevan dalam pasaran EV yang semakin berkembang pesat.
Walaupun proses pembangunan Twingo EV itu akan mengambil tempat di China, Renault tetap mahu memasang kereta elektrik mampu milik itu di Eropah, besar kemungkinan di kilang Slovenia yang kini digunakan untuk memasang Twingo generasi ketiga.
Dengan cara itu, Renault bukan sahaja dapat mengekalkan kos pembangunan ke tahap yang minimum dan dalam masa yang sama boleh menawarkan EV tersebut pada harga yang lebih mampu milik.
Renault Twingo merupakan sebuah keluarga kereta bandar yang dihasilkan oleh Renault sejak dari tahun 1992 sebagai pengganti kepada model Renault 4 dan Renault 5.
Pada awalnya, Twingo hanya ditawarkan dalam bentuk badan hatchback tiga pintu, sebelum ia akhirnya dijual dalam versi hatchback lima pintu bermula dari tahun 2014.
Menariknya, tidak seperti dua generasi terawal yang membawakan tetapan enjin depan pacuan roda depan (FF), generasi ketiga Twingo membawakan konfigurasi rangkaian kuasa unik enjin belakang pacuan roda belakang (RR).
Pembeli boleh mendapatkan pilihan enjin tiga silinder sebaris berkapasiti 1.0 liter aspirasi natural 69 hp/91 Nm, atau enjin 898 cc turbo berkuasa setinggi 109 hp dan 170 Nm.